“Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang Mukmin; hendaklah mereka menghulurkan jilbab-jilbab mereka ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Ahzab: 59)
Kelihatan ada yang berlari, ada yang tergesa-gesa. Masing-masing ingin pulang segera. Lalu kedengaranlah laungan dari mereka kepada sahabat-sahabat yang lain. Memberitahu telah turun kata-kata Allah untuk mereka. Isteri-isteri dan anak-anak perempuan pun diberitahu. Tanpa soal, tanpa ragu-ragu, dengan penuh rasa diri hamba, mereka ragut tabir-tabir dan tirai-tirai di rumah buat penutup diri. Begitu tinggi mereka meletakkan wahyu daripada Allah SWT.
Rambut, mahkota kebanggaan wanita. Dijaga rapi, diubahsuai apabila tidak puas hati. Hingga ada yang mewarnakannya dengan berbagai warna. Glamour, kata mereka. Mereka bahagia mendapat perhatian ramai. Bahagia yang mengundang bahaya. Apakah itu yang dicari? Apakah itu bahagia hakiki?
Setiap helaian rambut merupakan anugerah Allah. Membaluti kulit kepala yang tentunya kelihatan hodoh rupanya andai kata ia tiada. Itulah keadilan. Sesuatu yang diletakkan kena pada tempatnya. Apa lagi jika ia ciptaan Tuhan. Dan pasti setiap nikmat yang diberi, diminta jagai ia dengan sempurna mengikut syarat-syarat yang telah ditentukan. Syarat yang bukan saja untuk kebaikan diri di dunia malah untuk kebahagiaan yang kekal di Akhirat nanti.
Alangkah ayunya. Betapa manis dan sopannya. Betapa sejuk mata memandang; seorang gadis berjalan teratur penuh santun. Pandangan dijaga. Gerak lakunya dikawal sama. Kata-kata Allah 1400 tahun dahulu dijadikan amalan hidup. Mujahadah baginya satu kemanisan. Kerana ia yakin nikmat Allah yang dijanjikan adalah benar.
Maka lahirlah peribadi-peribadi seperti wanita zaman Rasulullah. Bersabar dalam berbuat yang disuruh. Bersungguh-sungguh meninggalkan yang dilarang. Berjiwa tenang menerima ujian. Redha dengan ketentuan Tuhan. Bukankah ini yang tandus di muka bumi Allah kini?
Oleh itu berlaku adillah pada diri. Supaya tidak dipersoal mengapa tidak dijaga nikmat yang Kuberi? Mengapa disalahgunakan ia? Mengapa tidak digunakan akalmu untuk melawan hasutan nafsu dan syaitan?
Mampukah dijawab segala soalan? Mampukah diri menanggung segala macam seksaan? Nabi melihat perempuan-perempuan yang tergantung dengan rambutnya dan mendidih otaknya. Apabila ditanya, baginda menjawab, “Perempuan yang diseksa demikian adalah perempuan yang tidak mahu menutup rambutnya daripada dilihati oleh lelaki yang haram memandangnya.”
Alangkah sedihnya jika kita menjadi orang yang dilihat di dalam perjalanan malam baginda bertemu Kekasihnya, Rabbul Amiin. Oleh itu jagalah ia dengan sempurna.