Akal & Kecerdikan Wanita

Antara cantik, kaya dan cerdik, yang lebih utama dimiliki oleh seorang wanita itu ialah kecerdikan. Wanita- wanita yang terkenal di dunia, kebanyakannya adalah wanita yang cerdik.

Cleopatra misalnya, memang seorang yang cantik. Tetapi kalau tidak kerana kecerdikannya, ia tidak akan dapat menundukkan Julius Caesar. Marie Antoinette pula bukanlah satu-satunya wanita tercantik masa itu, tetapi kerana kecerdikannya ia dapat mempengaruhi Louis XVI sehingga tampilah ia sebagai wanita yang paling banyak menghabiskan wang negara untuk kepentingan peribadi.

Begitu juga dengan tokoh-tokoh wanita solehah yang menjadi ikutan sepanjang zaman, semuanya adalah wanita-wanita yang cerdik. Sayidatina Aisyah r.ha, terkenal bukan kerana kecantikannya. Bahkan ada riwayat yang menyatakan bahawa dalam hal kecantikan, ada isteri Rasulullah yang lain yang lebih cantik daripada Siti Aisyah. Kemasyhuran Sayidatina Aisyah lebih menonjol kerana faktor kecerdikan dan kepetahan lidahnya.

Sayidatina Fatimah bt. Rasulullah, walaupun cantik tetapi bukan kecantikannya yang disebut-sebut orang. Beliau dikenal kerana kecerdikannya dalam mengendalikan rumahtangga yang harmoni bersama Sayidina Ali bin Abi Talib k.w.

Mereka yang disebutkan di atas adalah segolongan wanita cerdik yang bukan saja terkenal di bumi (di kalangan manusia) tetapi juga terkenal di langit (di sisi Allah).

Di antara dua kelompok wanita itu, ada kesamaannya, iaitu sama-sama cerdik dan sama-sama terkenal. Namun, kesan mereka terhadap imej wanita sangat berbeza. Kalau disebut saja nama-nama Cleopatra, Marie Antoinette dan seumpamanya maka akan terbayang bentuk-bentuk wanita yang agresif, punca rasuah, keras kepala atau penghancur karier lelaki. Sehingga timbullah gelaran-gelaran kepada mereka; ‘wanita penggoda’, ‘wanita pemboros’.pendek kata,mereka-mereka ini cerdik akal,tapi buruk akhlaqnya.

Namun, bila saja disebut nama-nama Siti Hajar, Siti Khadijah, Siti Aisyah atau Siti Fatimah maka akan muncul di fikiran kita imej wanita yang lembut, penyabar, bijaksana, taat, bijak dan sifat-sifat mulia lainnya.

Apakah yang menyebabkan perbezaan ini? Persamaan kedua kelompok wanita ini adalah pada kecerdikannya, namun di situ juga letaknya perbezaan. Wanita jahiliyah hanya memiliki satu kecerdikan iaitu kecerdikan akal. Sedangkan wanita solehah memiliki dua kecerdikan sekaligus iaitu cerdik akal dan cerdik hati.

Orang yang cerdik akal adalah seorang yang mudah memahami, tinggi IQ, banyak memperolehi ilmu tetapi sering mempunyai sifat ujub. Mereka yang cerdik akal juga mempunyai banyak idea, mudah menangkap, menafsir, selalu berfikir dan sebagainya.mereka yang cerdik akal ini,kebanyakanya mementingkan diri sendiri.
Orang yang cerdik hati dapat dikenal dengan rohnya yang bersih, hati yang tawadhu’ dan berbagai sifat kehambaan lainnya. Nampak padanya segala akhlaq yang mulia sama ada akhlaq kepada Allah mahupun akhlaq kepada manusia. Hiasan dirinya adalah kesabaran, qanaah, sensitif dengan Allah, mudah bertolak-ansur, berkasih sayang, cekap, amanah, tangkas, cermat, kemas dan semua sifat baik yang ada pada orang yang cerdik akal. Allah dan Rasul-Nya telah banyak menyebutkan ciri-ciri orang yang cerdik hati; diantaranya:

“(Iaitu) orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau ciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari seksa Neraka.” (Ali Imran: 191)

Sabda Rasulullah pula:

“Orang yang paling cerdik adalah orang yang senantiasa mengingati mati.”

Kecerdikan hati dapat melingkupi seluruh unsur kekuatan rohaniah manusia, iaitu akal, jiwa dan perasaan. Tetapi kecerdikan akal terbatas pada akal sahaja. Kecerdikan yang datang kepada akal sangat susah untuk melawan nafsu. Tetapi, jika hati yang cerdik lebih dulu, insya-Allah ia dapat mencerdikkan akal.

Siti Aisyah adalah contoh wanita yang cerdik hati. Hatinya telah dipenuhi oleh cahaya keimanan dan sifat-sifat kehambaan, walaupun ia isteri kepada Firaun yang kafir. Apabila Allah datangkan Nabi Musa a.s. dalam kehidupannya, kecerdikan hatinya telah mendorong akalnya menjadi cerdik sehingga ia mampu mencari helah dan alasan-alasan yang munasabah agar Firaun tidak membunuh Nabi Musa, bahkan mahu mengambilnya mejadi anak angkat mereka.

Menjadi wanita yang cerdik hati memanglah sukar. Apalagi kalau sebelumnya kita memang sudah termasuk di dalam golongan orang yang cerdik akal semata-mata, ertinya orang yang cerdik melulu, tanpa panduan iman yang haq. Lebih-lebih lagi susah kalau sebelumnya kita orang yang lembab akal dan lembab hati. Ertinya sudahlah IQ lemah, iman pun lemah juga.

Untuk mencerdikkan hati, seseorang yang cerdik akal semata-mata mestilah mengenali kelemahan-kelemahan atau penyakit-penyakit mazmumah yang biasa menghinggapi orang yang cerdik. Kemudian cari jalan bagaimana untuk mengatasinya. Jika mazmumah-mazmumah itu sudah dapat dirasai, maka bertambahlah kecerdikan itu, dari cerdik akal semata-mata menjadi cerdik dan cerdik hati.

Kelemahan yang paling menonjol pada wanita yang cerdik akal adalah ia mudah dihingapi penyakit ujub, iaitu rasa seronok atas kecerdikan yang ia miliki. Selalu merasa superior dan ingin kata-katanya didengar orang.

Inilah bisikan nafsu yang sangat halus yang boleh menjahanamkan diri di dunia, lebih-lebih lagi di Akhirat. Rasa seronok atas keistimewaan yang dimiliki bukan saja membuat kita merasa super, malah membuat kita lupa bahawa keistimewaan itu hanyalah pinjaman Allah yang bersifat sementara. Bukan untuk dibangga-banggakan tetapi untuk menegakkan agama-Nya.

Mazmumah yang lain adalah sombong. Sombong tidak semestinya nampak secara lahiriah pada roman muka atau gera-geri. Sifat sombong yang sangat halus adalah tidak adanya rasa hina diri, baik di hadapan Allah mahupun di hadapan manusia.

Hasad dengki. Sifat ini biasanya muncul jika seseorang yang cerdik itu merasa tercabar. Jika datang orang yang lebih cerdik daripadanya maka tidak senang duduk jadinya ia. Kalau masih boleh dilawan, akan cuba diatasinya kehebatan orang baru itu. Kalau merasa tidak mampu maka berpura-puralah ia memberi laluan padanya, padahal sebenarnya ia sedang mengintai-intai dan menyusun kekuatan untuk membalas dendam di atas “kekalahan” itu.

Mazmumah yang lain adalah gopoh-gapah serta tidak adil dalam membuat pertimbangan. Kalau kebetulan orang cerdik akal ini adalah orang yang ada kuasa membuat keputusan, maka keputusan-keputusan yang diambil hanya untuk memuaskan dirinya sendiri sahaja, tanpa mengambil berat kepentingan orang lain.

Apa yang paling dicintai oleh orang yang cerdik akal adalah pujian. Yang paling ditakutinya adalah kejian.

Tidak hairanlah kalau orang-orang genius berlumba-lumba membuat berbagai-bagai kajian supaya nama dan kecerdikannya diabadikan bersama penemuannya itu. Mereka ingin supaya nama mereka menjadi semasykur Newton, Einstein, Avogadro dan lain-lain. Ataupun mereka akan bertungkus-lumus untuk mendapat penghargaan serta pingat-pingat yang melambangkan kecerdikan manusia seperti hadiah Nobel, Magsaysay dan lain-lain.

Orang cerdik akal adalah orang yang paling takut dikeji. Pantang baginya untuk disebut sebagai orang yang gagal. itulah sebabnya mengapa Hitler lebih suka memilih bunuh diri daripada diseret ke makhamah sebagai orang ang kalah dalam Perang Dunia Kedua.

Itulah sebahagian dari kelemahan atau sifat mazmumah orang yang cerdik akal semata-mata. Banyak lagi sifat mazmumah lain yang menyerang orang-orang yang cerdik akal seperti bakhil, cinta dunia, zalim dan lain-lain. Tetapi apa yang tersebut di atas itulah biasanya yang paling menonjol.

Disebabkan oleh kelemahan-kelemahan itulah, orang yang cerdik akal sangat susah bermujahadah untuk dapat meningkat menjadi orang yang cerdik hati.

Namun demikian, masih ada harapan dan jalan keluar. Pertama, belajar tentang ilmu melawan nafsu (mujahadatunnafsi). Gunakanlah kecerdikan akal itu untuk mempelajari dan memahami ilmu-ilmu, syariat dan hakikat, ilmu lahir dan ilmu batin (tasawuf) untuk melawan nafsu dan syaitan.

Misalnya, akal yang dipengaruhi nafsu dan syaitan membisikkan:

“Lihatlah, kerana kecerdikan akalku aku menjadi kaya-raya seperti sekarang ini. Tengok jiran sebelah tu, kelulusannya sama denganku, kerja juga di pejabat yang sama, pangkat juga sama. Pasal dia tu bodoh, tak pandai pusingkan duit, sampai bila pun dia tetap merempat macam tu!”

Maka dengan akal pula, lawanlah bisikan itu:

“Memang benar dengan kecerdikan akalku, aku pandai pusingkan duit, pandai buat bisnes sehingga menjadi kaya-raya. Tetapi, siapakah yang menciptakan akal yang cerdik itu? Bagaimana kalau tiba-tiba saja akalku dibodohkan oleh Pencipta-Nya? Boleh jadi aku kemalangan, lalu kepalaku retak, cairan otakku terburai keluar, lalu aku bodoh macam orang tak siuman. Jadi, tak patut aku menyombong diri dengan kecerdikanku.”

Menerima hujah-hujah itu, tentu akal yang cerdik akan berfikir panjang lagi sebelum menyombongkan diri.

Begitulah, setiap kali satu sudut akal kita melancarkan satu letupan mazmumah, maka lawanlah dengan hujah yang munasabah dari sudut akal yang lain.

Peperangan akal lawan akal ini belum tentu berjaya membawa kita ke peringkat cerdik hati. Sebab, boleh jadi peperangan ini akan berpanjangan tanpa ada mana-mana pihak pun yang menang. Atau akan buntu jika terpaksa berhadapan dengan perkara-perkara yang tidak boleh dicerna oleh akal. Oleh itu kita memerlukan panduan-panduan ilmu tasawuf, iaitu ilmu yang mendidik hati, menanamkan sifat-sifat kehambaan yang sememangnya adalah fitrah semula jadi manusia, sebagaimana firman-Nya:

“Tidaklah Aku jadikan jin dan manusia, kecuali untuk mengabdi (menjadi hamba) kepada-Ku.” (Az-Zariyat: 56)

Namun, ketahuilah bahawa nafsu itu sangat jahat. Ilmu dan usaha kita tidak pernah mampu untuk melawannya.

Oleh itu kita memerlukan pihak lain untuk menolong kita, iaitu Allah SWT. Dialah satu-satunya Zat yang mampu menjinakkan nafsu kita, kerana Dialah tuan kepada nafsu itu. Berdoalah kepada Allah agar nafsu dan syaitan yang melancarkan ledakan mazmumah itu dapat kita kalahkan. Merintihlah kepada Allah agar kita dimenangkan dalam mujahadah. Allah telah berjanji:

“Berdoalah kepada-Ku, maka akanKu kabulkan doamu.”

Firman-Nya yang lain:

“Mereka yang berjuang di jalan Kami (dengan melawan nafsunya) akan Kami tunjukkan jalan Kami. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.” (Al-Ankabut: 69)

Sifat-sifat mazmumah yang menghiasi orang-orang cerdik akal ini pada dasarnya adalah sumber pada kecintaan manusia kepada dunia. Dunialah yang telah menjahanamkan kita. Pujian, sanjungan dan kemasyhuran kesemuanya adalah bunga-bunga dunia.

Mintalah kepada Allah agar Ia mencabut kecintaan terhadap dunia dari hati kita dan menggantinya dengan kecintaan terhadap Akhirat. Merintihlah agar Allah jadikan kita sebagai orang-orang yang benci dunia sebagaimana kita benci dunia sebagaimana kita benci kepada pelacur tua. Mudah-mudahan dengan itu kita dapat menjadi wanita-wanita yang cerdik akal dan cerdik hati.

7 thoughts on “Akal & Kecerdikan Wanita

  1. Pengetahuan ada dua macam.Pertama, yang kekal di lidah saja dan tidak berkesan pada hati. Dan kedua yang menyerap di hati sanubari dan menghidupkan semangat.

    Semoga kita sama-sama mengamalkan ilmu yang diperolehi.

    Saudari,izinkan saya meletakkan link blog saudari di blog saya. Terima kasih. :)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>