Puasa Boleh Rasa Makanan?

“Suami saya seorang yang cerewet tentang makanan. Sebab itu saya kena rasa betul-betul makanan yang dimasak agar kena rasa dan masinnya.

“Bagaimana jika dalam bulan Ramadhan saya rasa sedikit dengan hujung lidah? Batal tak puasa saya?”

Biasakah anda mendengar soalan ini atau anda sendiri mengalami delema seperti ini? Soalan ini dan banyak lagi termuat dalam sebuah buku panduan mengenai puasa yang boleh dikatakan paling menarik dan lengkap mengenai ibadah ini.

Tidak hairanlah sebab ia ditulis oleh ustaz terkemuka, Dato’ Haji Ismail Kamus bersama Mohammad Nidzam Abdul Kadir. Buku yang dimaksudkan ialah Soal Jawab Remeh-Temeh Tentang Puasa, Tapi Anda Malu Bertanya… yang pertama kali dicetak pada 2006 lalu.

Format buku ini memang dalam bentuk soal jawab, lantas menjadikannya buku panduan yang sangat mudah diikuti. Apa pula jawapan yang diberikan kepada soalan di atas?

Begini nasihat Ustaz Ismail Kamus: “Suri rumah yang memasak memang ada keperluan untuk merasai makanan, lebih-lebih lagi kalau ’si abang sayang’ seorang yang cerewet, takut nanti dia kata ‘tawarlah’ atau ‘lori garam tumpah ke?’

“Maka tidak batal puasa jika dirasa sedikit dengan hujung lidah. Tetapi, orang yang tidak berkaitan dengan masak-memasak tidak perlulah hendak merasa makanan.”

“Pernah kawan saya tanya batal tidak puasa jika tertelan nyamuk. Saya pun tidak reti (tidak tahu) nak jawab. Boleh ustaz tolong terangkan?”

Demikian bunyi satu lagi soalan yang lucu, tetapi boleh berlaku dan kita tidak tahu jawapannya.

Ustaz Ismail menjawab:
“Jika tertelan nyamuk, maka itu tidak sengaja, maka tidak batal puasa. Misalnya, nyamuk yang terbang dan masuk ke dalam mulut yang ternganga. Begitu juga jika lalat yang masuk, maka tetap tidak batal puasa.”

Terdapat juga senarai perkara yang hukumnya makruh dilakukan ketika berpuasa yang dijelaskan dalam buku itu. Ia tidak membatalkan tetapi eloklah ditinggalkan.

Berikut adalah antara perkara itu:

  1. keterlaluan berkumur semasa wudhu’
  2. berbekam. ini kerana berbekam melemahkan orang yang berpuasa;
  3. merasai makanan tanpa hajat;
  4. mencium dan memeluk pasangan. kalau pasangan suami isteri makruh, tetapi kalau pasangan kekasih bukan saja makruh tetapi haram;
  5. cakap banyak tanpa hajat. ini kerana kalau banyak cakap banyak salah dan silap. ibarat tangan menganyam ketupat, mulut banyak mengumpat;
  6. dan tidur banyak. selalu orang berkata, “tidur orang yang berpuasa adalah ibadat”, tetapi lagi banyak ibadat dan pahala jika waktu itu diisi dengan solat sunat, membaca Quran, membuku buku dan sebagainya.

Lagipun, menurut sebahagian ulama’, kenyataan ‘tidur orang yang berpuasa adalah ibadat’ adalah hadis yang daif.

Tetapi, sedapnya, hadis inilah yang menjadi sandaran orang yang suka tidur pada bulan puasa, tulis Ustaz Ismail dengan gayanya yang berjenaka itu.

Buku ini terdapat di kedai-kedai buku Melayu di sini dan Malaysia.

Fitrah Power - Tingkatkan Keupayaan Diri Anda


You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

AddThis Social Bookmark Button

Leave a Reply