Nek Beer

Wanita 82 tahun akhirnya jaya tukar kepada nama asal.

Sepanjang 82 tahun lamanya, nama ‘Beer’ melekat pada dirinya. Sejak kecil, sudah berpuluh-puluh kali Hajah Beer Mang merayu ayahnya agar menukar namanya kepada apa yang sepatutnya, iaitu Marbieah Osman.

Mungkin ekoran tuntutan lebih penting iaitu untuk mencari nafkah buat keluarga, Allahyarham ayahnya tidak menyifatkan soal pertukaran nama ‘Beer’ sebagai sesuatu yang penting.

“Bapak saya pernah cakap buat apa nak susah-susah? Nanti ‘kat akhirat pun Allah tahu apa nama kita yang sebenar,” cerita ibu tujuh anak dan nenek 20 orang cucu itu. Tetapi seperti ramai di antara mereka yang memiliki nama-nama yang unik dan ganjil, Hajah Beer juga pernah berhadapan dengan golongan yang mempersendakan dirinya.

“Ada orang pernah cakap dengan saya,

‘Eh, nama lu Beer ah? Gua hari-hari minum lu tau tapi lu banyak kuat ah!’,” cerita moyang tujuh orang cicit itu.

Ramai juga yang terkejut dengan namanya apatah lagi selaku seorang Muslim, meminum ‘beer’ atau arak adalah sesuatu yang haram. “Orang Cinalah yang banyak tanya kenapa saya dinamakan ‘Beer’,” tambahnya sambil menunjukkan pelbagai kad seperti kad klinik dan kad keanggotaan kumpulan senaman di kejiranannya dengan nama ‘Beer’ jelas tercatat.

Menyingkap kembali bagaimana nama ‘Beer’ pernah menjadi nama di kad pengenalannya, Hajah Beer yang ditemui di flat empat bilik keluarganya di Hougang Avenue 8, berkata:

“Saya ini buta huruf. Bapak saya lebih lagi. Jadi, waktu mendaftar itu main sebut ajalah apa namanya. Kita ‘kan sebut Marbieah itu bunyinya macam Marbeer!”

Dilahirkan di Singapura dan membesar di Pasir Panjang, kisah keluarga Hajah Beer pernah ditampilkan di akhbar ini menyusuli catatan kiriman anak sulungnya, Haji Diman Ahadi, sempena Hari Ibu.

Apabila laporan itu terbit, keunikan nama Hajah Beer mendapat perhatian pakar rawatan estetik, Dr Ashraff Shamsuddin Eilyaas, yang menghubungi temannya, Encik S. Magintharan, seorang peguam.

“Melihatkan keadaan beliau sekali gus mengingatkan saya kembali kepada Allahyarhamha nenek angkat saya yang namanya diubah daripada Safiah Ishak menjadi Sobea Aska.

“Beliau meninggal dunia dalam 1999 sebelum sempat saya dapat membantunya untuk menukarkan namanya itu dan itulah mendorong saya untuk tidak membantu. “Saya percaya terdapat ramai di antara mereka khususnya golongan lanjut usia di luar sana yang terpaksa melalui keadaan di mana nama mereka menjadi bahan senda.

“Ada yang malah tidak tahu menahu pun tentang adanya saluran untuk membantu mereka menukarnya agar mereka tidak terus-terusan ditertawakan,” ujar Dr Ashraff.

Atas dasar keihsanan memandangkan Hajah Beer datang daripada keluarga kurang mampu, maka kedua-dua Dr Ashraff dan Encik Magintharan menghulurkan bantuan. Minggu lalu, bertempat di pejabat peguam, S. Magin & Co Advocates & Solicitors di Peninsula Plaza, kedua-dua teman itu membantu Hajah Beer menukar namanya secara percuma.

Menurut Encik Magintharan yang sudah 17 tahun berkhidmat dalam bidang guaman, untuk menukar nama sebenarnya adalah proses yang cukup mudah. “Bagi mak cik ini, ia mungkin sesuatu yang disifatkan sebagai perlu. Ia merupakan salah satu cara untuk menamatkan kesengsaraan dirinya selama ini.

“Golongan sepertinya tidak sepatutnya menjalani kehidupan dengan nama yang mereka sendiri tidak selesa dengannya,” ujar Encik Magintharan. Menurut beliau, sebaliknya, golongan muda masa kini pula menyifatkan pertukaran nama sebagai satu bentuk trend atau fesyen yang mencerminkan kemodenan.

Jadi, apakah perasaannya setelah menanti selama lebih lapan dekad, impiannya untuk menukar nama beliau dimakbulkan akhirnya?

“Gembira rasanya… saya dapat nama asal saya balik,” katanya.

Nama asalnya Koteh… apa nak buat!

Gara-gara dirinya ‘dibuang’ semasa bayi dan kemudian ‘dikutip’ teman ayahnya, maka beliau terpaksa hidup dengan nama yang bunyinya seakan-akan ehem… ehem…

Namun, dirinya agak bernasib baik kerana ekoran kesilapan semasa pendaftaran, nama asalnya iaitu ‘Kotek’ dengan akhiran ‘k’, diganti ‘h’ menjadikan ia ‘Koteh’. Meskipun demikian, Hajah Koteh Mohamed, 58 tahun, mengakui dari dahulu hingga kini, namanya yang unik itu masih terus menjadi bahan sendaan.

“Tetapi ada peristiwa yang saya tidak akan lupa. Masa itu saya hamil anak sulung dan suami saya temankan saya pergi klinik untuk periksa kandungan. Dulu-dulu manalah ada pakai nomborkan? Semua main sebut nama kuat-kuat bila dah sampai giliran jumpa doktor. Jadi bila nama saya disebut, semua orang tengok saya dan mereka ketawa.

“Sejak itu, suami saya cakap dengan saya, ‘Lain kali, awak pergi sendirilah. Saya malu!,” cerita Hajah Koteh tentang Allahyarham suaminya. Menceritakan sejarah di sebalik namanya itu, ibu tiga anak yang ditemui di flat tiga bilik keluarganya di Tampines Street 11, berkata:

“Dua abang saya meninggal dunia sebelum lepas 40 hari. Jadi bapak kata, kalau ibu mengandung lagi, bapak nak ‘buang’ saya. Bukan apa, beliau takut kalau-kalau meninggal lagi. “Jadi, beliau cakap dengan kawannya, ‘Kalau aku ‘buang’ anak aku, kau ambil eh!” Sebenarnya, bukan dibuang betul-betul tetapi kerana kepercayaan orang dulu-dulu sahaja. Bila lepas hari, bapak ambil saya kembali.”

Tetapi sebelum Hajah Koteh kembali ke pangkuan keluarga, kelahirannya telah terlebih dahulu didaftarkan mengikut nama pilihan Allahyarham ‘bapa sementaranya’ iaitu ‘Koteh’.

“Saya dibuang tepi tong sampah… Maka, bapak sementara saya itu ambil saya dan taruhkan nama saya ‘Kotek’. “Tetapi masa mendaftar itu, si tukang tulis mungkin rasa lain macam aja bunyi di hujungnya. Jadi dia buang huruf ‘k’ dan gantikan dengan ‘h’,” jelasnya. Nama itu mungkin disifatkan janggal di telinga ayah kandung Hajah Koteh sehingga beliau enggan menggunakan nama itu untuk memanggil puterinya.

Ayah kandung saya panggil saya dengan nama baru, Masniah. “Tetapi bagi ayah sementara saya, sampai orang tua itu meninggal, beliau terus panggil saya, ‘Kotek… Kotek…’! Beliau suka pada nama itu,” tambahnya. Kesemua adik-beradik Hajah Koteh memiliki nama yang cantik seperti Siti Hawa, Habibah, Masharlina dan sebagainya.

Nama saya seorang saja yang lain macam sikit. “Biasanya, kalau ada orang yang melihat kad pengenalan saya, reaksi pertama mereka ialah ketawa atau sekadar senyum-senyum. Kemudian, dia sama dia akan saling berbisik-bisik dan saya jadi malu. “Ada juga yang tanya, ‘Apasal lu mak bapak kasi nama lu macam itu? Jadi saya jawablah, ‘Dulu gua kecil mana boleh cakap gua tak mau itu nama?”

“Ada juga yang mempermainkan-mainkan nama saya dan suruh saya bubuh ‘x’ sahaja untuk menggantikan ‘h’ di akhir nama itu,” luah nenek lapan cucu itu. Walaupun anak-anak pernah menyarankan agar beliau menukar namanya, Hajah Koteh menyifatkan prosesnya agak panjang.

“Tetapi saya ingatkan anak-anak, kalau nanti saya meninggal, masa tahlil nanti, sebut nama saya Masniah bukan Koteh eh… Di batu nisan pun sama,” tambahnya sambil ketawa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>