Sekali awak terajang saya, dua kali saya boleh balas!

Pertama, laporan dalam akhbar ini sendiri khamis lalu tentang seorang lelaki tua 60 tahun yang naik berang kerana isterinya tidak memenuhi arahannya supaya meminang seorang wanita lain yang juga isteri orang, untuk dijadikan isteri kedua.

Laporan kedua pula disiarkan selasa lalu dalam akhbar The Straits Times tentang keputusan seorang ulama’ Al-Azhar yang membenarkan wanita untuk melawan balik jika suami menggunakan kekasaran terhadapnya.

Dalam kes pertama yang berlaku di seberang tambak, lelaki tua tersebut dilaporkan tergamak mengugut mahu menembak dan menyembelih isterinya yang malang itu.

Lelaki itu dikatakan telah mengarahkan isterinya yang berusia 56 tahun, meminang seorang wanita berusia 30-an tahun yang masih bersuami.

Apabila gagal, dia mengamuk. Mujur si isteri cepat-cepat melarikan diri ke rumah anaknya. Jika tidak, tak tahulah apa yang akan berlaku padanya. Ini mungkin satu kes ekstrem. Mungkin lelaki berkenaan “tidak betul” sikit sampai sanggup mengancam bertindak ganas semata-mata tidak tahan nak kahwin lagi.

Tetapi ini satu lagi contoh tentang bagaimana sebahagian kaum lelaki beriya-iya benar nak kahwin lagi, kononnya Islam membenarkan poligami. Walhal, mereka kurang faham tentang syarat-syarat poligami yang ditetapkan dalam Islam.

Orang sebegini sebenarnya ramai. Dalam masyarakat kita di Singapura pun ada. Kalau tidak percaya, cuba jenguk-jenguk kes di mahkamah syariah. Kalau kejadian ini melibatkan suami yang ‘gatal’ nak kahwin dua, laporan kedua pula melibatkan suami ‘kaki pukul’.

Dalam laporan kedua itu, Sheikh Abdel Hamid Al-Atrash yang mengetahui jawatankuasa fatwa Al-Azhar, mengisytiharkan bahawa wanita mempunyai hak untuk melawan semula suaminya yang menggunakan kekerasan.

“Semua orang ada hak untuk mempertahankan diri, sama ada mereka lelaki atau wanita kerana semua manusia adalah sama di depan Allah,” kata beliau.

Sebelum ini, Sheikh Abdel Mohsen Al-Abyakan dari Arab Saudi dilaporkan berkata bahawa isteri boleh menggunakan kekerasan yang sama yang digunakan oleh suaminya.

Seorang ulama dan penulis Turkey, Encik Fethullah Gulen pula berkata isteri boleh membalas semula dua kali apa yang dilakukan oleh suaminya.

Sekali imbas, memang kita patut bersetuju dengan ‘fatwa-fatwa’ itu.

Memang ramai wanita menjadi mangsa keganasan rumah tangga, termasuk dalam masyarakat kita sendiri. Saya pernah diberitahu tentang seorang pekerja sosial yang sedang mendengar aduan menerusi telefon daripada seorang wanita tentang suaminya yang kaki pukul bantai.

Sedang wanita itu mencurahkan isi hatinya, tiba-tiba terdengar beliau ditampar suaminya. Kasihan beliau. Memang, kes pukul bantai atau keganasan rumah tangga ini bukan berlaku dalam masyarakat kita sahaja.

Ia bagaikan sudah menjadi fenomena biasa dalam hampir semua masyarakat, baik orang Barat mahupun orang Timur, Baik orang Islam mahupun bukan Islam. Cuma, di kalangan orang Islam kita, ada yang tersalah anggap kononnya agama membenarkan suami memukul isteri.

Ada yang menjadikan ini alasan untuk menghalalkan perbuatan ganas mereka ke atas isteri… sama seperti mereka yang menganggap Islam membolehkan mereka kahwin lagi, tanpa mengira keadaan macam mana pun.

Benarkah Islam membenarkan suami memukul isteri? Saya semak laman soal jawab agama kendalian Majlis Ugama Islam Singapura (Muis). Menurutnya, seorang suami dibenarkan membuat tindakan disiplin yang ringan (bukan pukul bantai) ke atas isterinya untuk memperbetul kesalahannya.

Namun, ia hanya harus digunakan di dalam situasi yang keterlaluan dan jika si suami pasti bahawa tindakan tersebut akan memperbaiki keadaan. Jika terdapat kekhuatiran bahawa tindakan tersebut akan memburukkan lagi keadaan atau menyebabkan huru-hara ke atas keluarga, maka tindakan itu harus dijuahi.

Sebaiknya, mereka lantik orang tengah untuk mendamaikan mereka. Menurut laman itu lagi, Islam tidak membenarkan kekerasan dan tidak membiarkannya berlaku. “Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam sendiri tidak pernah memukul seorang wanita, dan pernah bersabda bahawa sebaik-baik lelaki adalah lelaki yang tidak pernah memukul isterinya,” jelas Iaman itu.

Jadi, kalau ada lelaki yang menganggap boleh memukul sesuka hati isterinya sampai luka parah, lebih baik kita jangan berdiam diri. Cuma, saya tidak tahu bagaimana seorang wanita dapat melawan atau membalas semula pukulan suaminya yang ganas, kecuali mungkin si isteri berbadan lebih tegap atau mempunyai kemahiran seni mempertahan diri. Apa jadinya kalau si isteri balas pukulan si suami lalu mereka saling bertinju atau bergusti? Apakah akan selesai masalah? Mungkinkah si isteri akan jadi lebih teruk lagi dipukul?

Sebagai wanita, si isteri mungkin tidak kuat untuk membalas pukulan sang suami ‘samseng’ itu. Tetapi, banyak tindakan lain yang boleh diambilnya. Ini termasuk segera membuat laporan kepada pihak polis dan ambil Perintah Perlindungan Mahkamah (PPO) supaya si suami tidak boleh mendekati isterinya, apa lagi memukul atau menderanya.

Pokoknya, kalau anda isteri malang yang dipukul bantai suami, janganlah tunggu lama-lama. Bertindaklah sekarang. Dapatkan bantuan keluarga atau agensi lain. Tiada orang yang berhak memukul anda sesuka hati, walau mereka bergelar suami.

Ismail Pantek

Bisikan Nurani Muslimah: Uish… Kalau si suami kaki bantai dapat pasangan isteri yang pandai silat dan tekowando bagus tu!! Sebenarnya kaum suami ni harus mendidik isterinya dengan lembut. Tidak perlulah pukul bantai. Mereka bukan haiwan. Mereka manusia ada cita-rasa dan perasaan yang lembut. Zahiriah mungkin kelihatan kasar tetapi naluri seorang wanita tetap ada sifat keibuan. (:

3 thoughts on “Sekali awak terajang saya, dua kali saya boleh balas!

  1. Apabila seorang wanita itu dikahwini maka beerti tanggung jawab mendidik,memberi nafkah dan melindungi wanita tersebut akan terletak di atas bahu suami. Sungguhpun suami diangkat menjadi ketua keluarga, sisuami tidak berhak mendera isterinya apatah lagi “memukul bantai” sehingga menyebabkan kecederaan serius pada tubuh badan isteri. Kebenaran memukul seperti mana dalam AlQur’an adalah jalan yang terakhir selepas nasihat dan meninggalkan tempat tidur dan ia tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya والله أعلم

  2. kelakar la laman yang nie..Hehe ;) boley pulak maen terajang2….. tp nak buat camno… naseb si suami…. tapi buat si isteri, dapat pahala besar embenarkan suami buka cawangan baru,lagipon ramai sangat kaum wanita sekarang nie.. dari berlakunya kerosakan terhadap anak2 gadis yang sadis, menyelamatkan mereka dengan syle macamni afdhalla… tapi siapa yang mmpu berkongsi kasih??? duhai suami,pandai2la pujuk, kelembutan 2 mampu menjadikan si isteri cair bak aiskrim,dikasari mereka,makanla penampau same hehehe =>

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>