Ambil Hati Mentua

Tunjukkan tanggungjawab dan jangan berat sebelah

Kata orang, apabila kita berkahwin, kita turut mengahwini keluarga pasangan kita sekali. Dan kata orang juga, apabila menantu perempuan tinggal sebumbung dengan mak mentuanya, biasanya akan timbul perselisihan faham. Betul atau tidak, tepuk dada, tanya selera.

Tetapi bagaimana pula sekiranya seorang suami tinggal sebumbung dengan ibu mentuanya?

Kata orang juga, tidak seperti seorang isteri, biasanya seorang suami dapat menelan segala kepahitan yang dilaluinya apabila tinggal sebumbung dengan ibu mentuanya.

Betulkah?
Saya rasa semua menantu tidak mahu menyinggung perasaan orang tua atau mentuanya. Namun, ramai juga di kalangan kaum Adam yang ditanya berpendapat bahawa memang sukar untuk sentiasa mengambil hati mentua, bersabar dan bersikap mengalah.

Kadangkala rasa sedih dan bingung apabila mereka tiba-tiba bersikap dingin hanya kerana teguran atau kelakuan yang tidak disengajakan.

Tup, tup, si isteri memarahi si suami. “You dah tahu mak I kan sensitif. Cuba kalau mak you kena,” tegur si isteri yang kerap kita dengar.

Lama-kelamaan si suami menjadi pendiam, memendam rasa kerana tidak mahu menjadi menantu derhaka dan semata-mata ingin menjaga hati si isteri. Sesuatu kurang sihat umpama ‘time bomb’ yang menanti masa untuk meletup.

Orang kata, apabila jauh bau wangi, kalau sudah dekat bahu tahi. Di manakah nilai nukleus kekeluargaan kita? “Selepas kematian ayah dan kemudian bapa mentua aku, kedua-dua ibu tinggal bersama aku. “Kedua-duanya berbeza perangai dan kadangkala aku rasa tersepit apabila kedua-duanya tidak boleh diajak berunding,” cerita kawan saya, anak tunggal yang lebih berpengalaman.

“Aku sudah masuk belasan tahun berkahwin. Yang hanya aku tahu, bapa mentua aku kaki pancing, minat nasi beriani dan bermain bola sepak.”

“Memang susah hendak duduk sama rendah, berdiri sama tinggi bersama mereka. Masih terdapat jurang meskipun aku anggap mentua aku seperti ibu dan ayah kandung aku sendiri. Susah nak jelaskan apa dia,” jelas kawan saya yang seorang lagi.

Sebenarnya, kita semua dibesarkan dengan cara yang berbeza. Punya pandangan dan perangai yang berbeza, Yang tiada beza ialah perkongsian sayang kita terhadap anak perempuan mereka.

Sebagai orang tua, biasanya kita tidak nampak kesilapan anak sendiri dan selalunya bersifat membela dan melindungi anak sendiri. Saya tidak terkecuali. Saya berpesan kepada diri sendiri bahawa saya juga bakal menjadi mentua satu hari nanti dan bukan semua kelakuan saya nanti dapat diterima menantu.

Jangan terlalu ’sensitif’ dan jangan berat sebelah. Jangan punya sikap buruk sangka kerana ini memudahkan salah faham antara menantu dan mentua. Saling jujur dan positif. Sememangnya, mustahil untuk elakkan salah faham dengan mentua. Tidak ada manusia yang sempurna.

Akan tetapi kita boleh berusaha, bertolak ansur, bersifat toleransi dan saling memaafkan dalam mengejar keharmonian hidup kekeluargaan di bawah satu bumbung.

Apa yang penting, kita kenang pengorbanan mentua. Tunjukkan sayang kepada mereka bukan setakat wang ringgit atau berjumpa setahun dua kali.

Tunjukkan tanggungjawab dan jangan berat sebelah juga. Pucuk pangkalnya, selagi kita berkahwin dengan anak mereka, kita masih tetap mengahwini keluarganya sekali.

Md Samad Afandie

Fitrah Power - Tingkatkan Keupayaan Diri Anda


You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

AddThis Social Bookmark Button

Leave a Reply