Menikmati Kebahagiaan dalam Kejayaan
-
Ruangan Tokoh Muda kali ini berpeluang mencungkil rahsia kejayaan seorang Ustaz dan usahawan muda yang tidak mudah mengaku kalah dalam menrealisasikan impiannya dengan prinsip melaksanakan dan memaksimakan kemampuan terbaik melaksanakan khalifah ALLAH. Moga iltizamnya dapat menjadi inspirasi kepada semua.
Muhammad Tarmizi Bin Abdul Wahid lahir pada tahun 1983. Beliau sudah berumahtangga dengan suri pilihannya, Fadhilah Bte Abbas. Mendapat pendidikan awal di Madrasah Aljunied Al-Islamiah (1990-2001) sebelum melanjutkan pengajian ke Institut Pengajian Tinggi MARSAH dalam pengajian Diploma Syariah Islamiah (2002-2005). Kemudian beliau melanjutkan pengajiannya ke Universiti Al-Azhar Kahirah dalam bidang Syariah Islamiah dari tahun 2005 hingga 2006. Semasa menuntut beliau aktif sebagai Presiden Kelab Pelajar Singapura MARSAH 2004 dari sebagai Anggota Lajnah Ta’lim Persatuan Kebajikan Mahasiswa Singapura (PERKEMAS) 2005-2006.
Pulang dari Mesir beliau pernah menjawat sebagai Pegawai Eksekutif di Pejabat Mufti MUIS sebelum mengambil keputusan untuk fokus dalam syarikat Vocal Point. Beliau mempunyai beberapa prinsip untuk mencapai kejayaan. Antara 3 prinsip utama beliau ialah:
- Memahami dengan jelas dan yakin bahawa kita adalah makhluq ALLAH yang mulia, diciptakan dalam keadaan dan bentuk yang terbaik sebagai khalifah di bumi, dianugerahkan dengan akal yang berpotensi tinggi. Dengan ini, maka sememangnya ALLAH Subhanahu Wa Ta’ala mahukan hanya yang terbaik untuk diri kita. Dia mahu kita meraih segala kebaikan dan kejayaan dalam kehidupan di muka bumi ini.
- Kita dilahirkan dalam keluarga yang mempunyai harapan yang tinggi untuk kejayaan dan kebahagiaan kita. Ibu bapa merupakan pendorong utama. Sekiranya kita mahukan yang sederhana, atau bermalas-malasan untuk maju dalam pelajaran dan kerjaya, secara tidak langsung kita menghampakan harapan dua insan yang telah membesarkan kita.
- Percaya bahawa apa pun bidang yang akan diceburi, ia mesti diasaskan niat dan tujuan yang suci, seperti bersungguh-sungguh untuk berjaya demi memberikan manfaat kepada masyarakat umum.
Sepanjang pengajian beliau selama 12 tahun di Madrasah Aljunied, beliau tidak pernah memegang sebarang jawatan ataupun kedudukan sebagai muraqibul fasl (ketua darjah, mufawwadh (ketua murid) dan sebagainya. Dari segi pencapaian akademik, Alhamdulillah, beliau seringkali mendapat keputusan yang baik, biasanya dalam lingkungan 10 atau 5 tertinggi dalam kelas. Beliau disifatkan oleh ramai guru sebagai seorang pelajar yang baik, pemalu dan pendiam. Namun, beliau sedar bahawa antara kelemahan diri pada ketika itu adalah low self-confidence yakni rendah keyakinan pada diri. Apabila mencecah usia remaja, beliau sedar bahawa beliau mempunyai sifat malu dan segan berinteraksi, khususnya dengan orang yang tidak dikenali dan tidak berani menonjolkan diri apalagi bercakap di depan khalayak ramai.
Perubahan kepada dirinya hanya bermula ketika beliau sedang menanti susulan permohonan ke Institut Pengajian Tinggi selepas tamat pengajian di Madrasah Aljunied. Dalam jangkamasa enam bulan tersebut, beliau telah mempertingkatkan diri dengan membaca banyak bahan rujukan khusus bagi meningkatkan keyakinan diri (sebanyak 400 buku dalam masa 3 tahun). Beliau juga telah menghadiri bengkel-bengkel dalam bab yang sama dan juga untuk melancarkan penyampaian di depan khalayak ramai.
Secara perlahan, beliau telah membina minat dalam dirinya dalam bidang keusahawanan dan pelaburan. Beliau lebih membaca buku-buku bisnes yang mengajarkan asas-asas keusahawanan serta motivasi untuk memulakan bisnes yang cemerlang. Maka sepanjang waktu pengajian, beliau sudah mula berangan-angan untuk menubuhkan syarikatnya sendiri. Pelbagai idea telah difikirkan bagi tujuan tersebut. Lebih kerap beliau memikirkan tentang memulakan bisnes, lebih luas lagi peluang-peluang yang beliau lihat. Akhirnya beliau menubuhkan syarikat Vocal Point (syarikat pengurusan acara, bengkel dan kelas-kelas agama) bersama beberapa teman pada tahun 2007. Sehingga hari ini, syarikat Vocal Point telah menjalankan lebih 10 acara besar. Antaranya adalah Seminar Keusahawanan Vocal Point (disampaikan oleh En. Adam Khoo dan Dato’ Fadzillah Kamsah) dan Persidangan Kewangan Berita Harian 2008.
Untuk modal memulakan perniagaannya, beliau menggunakan wang simpanan serta mendapat bantuan keluarga dan juga mendapat sokongan pelabur luar. Satu ujian yang amat mencabar bagi dirinya ialah ketika bisnesnya mengalami kerugian yang amat besar di mana memerlukan dana yang banyak untuk mengatasi masalah kerugian tersebut. Ia merupakan satu keadaan yang amat mencabar. Melalui pembacaan, beliau dapati statistik menunjukkan usahawan baru akan mengalami kesukaran dan kegagalan dalam masa 3-5 tahun pertama. Ini membuatkannya berfikir, jika beliau menyerah kalah, beliau hanya akan menambah statistik tersebut dan menjadi seorang lagi usahawan gagal.
Tetapi dalam kehidupan, beliau tidak ingin menjadi seperti manusia biasa, guru agama dan pemilik bisnes yang biasa. Beliau punya impian dan menginginkan sesuatu yang luarbiasa. Sesuatu yang berbeza dan lain dari yang lain. Sudah terlalu banyak perkara biasa di dalam dunia ini. Beliau tahu, jika beliau benar-benar inginkan kejayaan yang luarbiasa, beliau tidak mampu untuk gagal dan meyerah ketika berdepan dengan kesukaran. Beliau tidak mampu menjadi seseorang yang punya semangat yang biasa-biasa sahaja jika beliau inginkan sesuatu kejayaan yang luarbiasa. Suka atau tidak beliau harus menjadi luarbiasa dalam setiap keadaan dan situasi yang dihadapinya.
Ketika beliau menghadapi kesukaran untuk mengetengahkan ideanya kepada beberapa pemilik bisnes yang berjaya. Satu demi satu idea beliau ditolak. Sebagai usahawan muda, setiap penolakan itu amat menyakitkan. Namun, beliau harus kuat menghadapinya dan teruskan berusaha.
Dalam pembacaannya, beliau dapati bahawa ramai jutawa multi-millionaires dan billionaires tidak mudah mengaku kalah walaupun selepas ratusan penolakan. Sedangkan beliau hanya berdepan dengan kurang dari 10 penolakan jadi tiada sebab untuknya merasa direndahkan dan berputus asa. Akhirnya, selepas begitu banyak penolakan dan kekecewaan, dengan seizin ALLAH beliau berjaya mendapatkan pelabur yang menyukai ideanya. Pelabur tersebut bukan sahaja bersetuju untuk melabur dalam bisnes bahkan beliau juga setuju untuk menjadi mentornya sehingga dirinya berjaya. Sesungguhnya kesabaran dan kesungguhan benar-benar memberikan hasil yang baik dan membahagiakan.
Ketika ditanya apakah beliau telah berjaya dan di mana tahap kejayaannya? Menurut beliau tidak mudah untuk menafsir makna kejayaan. Secara zahirnya beliau mengukur kejayaan melalui syarikatnya tetapi dalam jangkamasa panjang bagaimana ia mungkin bertahan dan mendapat keuntungan tahunan yang tetap. Beliau memberikan dirinya dan syarikatnya peluang untuk terus bergerak dan secara perlahan-lahan mendapat tempat dalam masyarakat dan pasaran masa kini.
Setiap individu mempunyai impian, minat dan cita-cita yang istimewa dan berbeza dari individu yang lain. Beliau telah berkongsi tip dan nasihat. Antara syarat terpenting untuk meraih kecemerlangan dalam bidang kita ceburi adalah:
- Kepercayaan dan keyakinan pada keupayaan diri sendiri.
- Usaha yang keras berdasarkan ilmu dan kemahiran yang mantap.
- Banyakkan membaca buku-buku yang boleh membantu kita memperbaiki tahap kekuatan diri.
- Senantiasa beryukur kepada ALLAH atas apa jua kemudahan dan keuntungan yang diraih walau sekecil mana pun.
Beliau bercita-cita untuk menjadikan syarikatnya nombor satu dalam bidang Events Management. Seterusnya membuka cawangan-cawangan lain bagi pengajian ISLAM serta cita-cita jangkamasa panjang untuk menubuhkan sebuag pertubuhan kebajikan (charity foundation) khusus untuk membiayai pengajian anak-anak kecil yang datang dari keluarga yang kurang berkemampuan.
Semangat keusahawanan dan tidak kenal putus asa memang merupakan sifat seorang muslim. Sifat dan keperibadian ini ada dalam diri manusia agung Baginda Sallallahu Alayhi Wa Sallam. Contohilah Rasulullah Sallallahu Alayhi Wa Sallam dalam keteguhannya, kecekalannya dan kecekapannya mengambil cabaran dan menukarkannya menjadi satu peluang untuk manfaat umat manusia. Sesungguhnya Baginda Sallallahu Alayhi Wa Sallam merupakan pembawa rahmat ke seluruh alam. Rahmat dan ihsan untuk semua.
Dalam masa yang sama, jangan lupa untuk mengambil hikmah dari orang lain walaupun bukan muslim kerana sesungguhnya hikmah itu sesuatu barang yang hilang dari seorang muslim, di mana dia jumpai maka ambillah ia. Segala ilmu yang baik itu datangnya dari ALLAH tidak kira siapa yang menyampaikannya kepada kita. Moga kita menjadi hamba-hamba-NYA yang berilmu, beriman dan mengamalkannya sesuai ajaran Al-Quran dan As-Sunnah.
Ustazah Zuwainah Mohd Kamalutheen
♥ღ Musleemah ღ♥ says:- Itulah diantara sifat seorang muslim yang ingin berjaya Lillahi Ta’ala. Rezeki yang kita perolehi itu adalah milik ALLAH Subhanahu Wa Ta’ala. Bukan seperti segelintir sahabat saya yang berfikiran bahawa manusia disekeliling mereka akan membawakan rezeki dan keuntungan yang lumayan buat diri mereka. Ini kerana manusia itu semua akan menjadi pelanggan dan mungkin bisa dijadikan pelanggan yang setia dan tetap untuk hasil kejayaan serta keuntungan dalam syarikat mereka. Mereka tidak seharusnya berfikiran sedemikian kerana ini bisa mengundang bala’ dan musibah pada diri sendiri. Kerana rezekinya bergantung kepada manusia semata. Dan orang-orang yang berfikiran sebegini seringkali ingin mempamerkan kehebatan mereka dan kelebihan mereka itu kerana manusia, bukan pekerjaan itu dilakukan dengan ikhlas serta bertungkus-lumus kerana ALLAH. Oleh sebab itu beliau, encik Muhammad Tarmizi menegaskan tentang niat di dalam hati apabila ingin memulakan satu pekerjaan atau menceburi dalam sesebuah bidang yang diminati. Seharusnya kita sedaya upaya mengelakkan diri dari perkara-perkara yang haram. Jangan sampai ia terkandung dalam pekerjaan harian kita. Saya teringat akan kata-kata seseorang yang berbunyi,
Ingatlah ukhti, bahawasanya dalam setiap rezeki yang kita perolehi ada tersimpannya rezeki milik orang lain. Dengan itu, bersadaqqahlah dan jangan pernah menganggap akan kekurangan rezeki apabila ingin menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan. (=
Untuk mencapai tahap kejayaan yang mantap seperti beliau dan jutawan-jutawan yang lainnya kita memang harus menanamkan sifat kesabaran dan kesungguhan yang tinggi dalam kehidupan harian. Kerana saya akui bahawa dalam keadaan kita hidup menghadapi hari-hari yang saling berganti ini akan memperlihatkan kita pada pelbagai cabaran dan rintangan di mana kita harus siap mengharunginya.
Sepertimana ALLAH berfirman,
وَلَنَبْلُوَنَّكُوْ حَتَى نَعْلَم الْمٌجَاهِدِيْنَ مِنْكُمْ وَالصَّابرِيْنَ
Dan sesungguhnya KAMI hendak menguji kepadamu semua, sehingga KAMI dapat mengetahui siapa di antara engkau semua itu yang benar-benar berjihad dan siapa pula orang-orang yang bersabar.
(Muhammad: 31)Dan kita juga harus berusaha dalam memperbaiki diri ke arah yang lebih baik terutama sekali dalam menanamkan sifat keyakikan dalam diri. Usai usaha, sudah seharusnya kita menghadirkan pula sifat tawakal kepada-NYA.
Sepertimana ALLAH berfirman,
.فَاِذَاعَزَمتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللهِ
Jikalau engkau telah bulat tekad – untuk melaksanakan sesuatu – maka bertawakallah kepada ALLAH.
(Ali-Imran: 159)Juga ALLAH Ta’ala berfirman,
.(وَمَنْ يَتَوَكَّلْ عَلَى اللهِ فَهُوَ حَسْبُهُ (اَىْ كَافِيْهِ
Dan barangsiapa bertawakal kepada ALLAH, maka DIA pasti mencukupi untuknya.
(at-Thalaq: 3)Insya-ALLAH dengan seizin ALLAH Subhanahu Wa Ta’ala, kita bisa mencapai kejayaan di sisi ALLAH jua. Semoga juga rezeki yang kita perolehi pada setiap hari ini adalah sebuah rezeki yang halal di mata ALLAH Subhanahu Wa Ta’ala. Kisah di atas ini akan saya jadikan satu teladan untuk terus-terusan berusaha dalam memperbaiki kelemahan diri ini. Macam satu semangat pula untuk memulakan perniagaan sendiri (peluang keemasan itu memang ada tetapi bukan sekarang untuk saya memulakannya). Insya-ALLAH di masa akan datang, ingin sekali saya mengambil ikhtibar dari tokoh-tokoh anak muda ISLAM kita di seluruh pelosok dunia ini untuk dijadikan satu azam dan pengajaran di masa hadapan.
Saya tahu betapa gigihnya semangat sepupu saya ingin memulakan satu perniagaan. Dengar kata, mereka bersemangat ingin menjual cookies lewat blog. Pasaran melalui internet kata mereka. Saya jadi tergelak sekejap kerana saya fikirkan itu hanya senda gurauan mereka tetapi mama mencelah. Beliau mengatakan bahawasanya jangan saya cuba mengecilkan sifat keusahawanan dalam diri mereka itu. Siapa tahu suatu hari nanti mereka bisa menjadi seorang peniaga yang berjaya walaupun hanya sekadar menjual cookies sahaja. Dengan seizin ALLAH, apa sahaja boleh terjadi. Malah sesuatu yang di luar jangkauan fikiran manusia itu sendiri.
Layari Vocal Point @ Multiply Networking untuk maklumat lebih lanjut tentangnya. (=





May 31st, 2009 at 8:38 pm
alhamdulillah… semakin banyak wanita muslimah membuat blog islami….
August 12th, 2009 at 12:55 am
Alhamdulilah.. tenag sekali rasa hati singgah di blog ini. Mudah2an lebih ramai wanita tampil ke depan menyuarakan pandangan yg baik.
August 12th, 2009 at 11:54 am
slm bleh x sy nk dptkn cntac nmber tokoh usahawn muda dari awk..sy ada projek utk kolej,klu bleh tlng bls msg ni
September 26th, 2009 at 6:23 pm
Sebagai muslim sememangnya perlu berjaya supaya menjadi contoh kepada orang bukan muslim.