"Macam mana saya boleh dijangkiti HIV?"

“SAYA BUKAN PELACUR.”

Hidup bagi Cik Ita bagaikan sehelai daun kering yang melayang ditiup angin kencang. Selama tujuh bulan tubuhnya yang kurus kering berteduh di taman-taman dan kolong blok kerana beliau tiada tempat tinggal.

Namun, yang lebih menghibakan bukan keadaan hidupnya yang tidak berumah, tetapi, dirinya yang sudah dimamah virus HIV (human immunideficiency virus) peringkat lanjut yang membawa kepada penyakit Aids (acquired immune deficiency syndrome).

Lemah tanpa wang, Cik Ita (bukan nama sebenar), 29 tahun, meneruskan hidup melalui belas ihsan orang ramai yang menghulurkan wang dan makanan kepadanya sepanjang tujuh bulan itu sehinggalah pada suatu hari tenaganya hampir pupus dan beliau menguatkan langkahnya memasukkan dirinya sendiri ke Pusat Penyakit Berjangkit (CDC) untuk mendapatkan rawatan.

Hampir tiga minggu beliau dirawat di CDC dan melalui bantuan sukarelawan badan Bertindak bagi Aids (AFA), Cik Ita diterima seorang temannya untuk tinggal bersamanya sejak seminggu lalu.

Kisahnya memang menyayat hati. Cik Ita, selain daripada menjadi mangsa keadaan keluarga yang berpecah-pecah, adalah juga contoh sikap sebahagian golongan muda yang daif atau tidak mengambil pusing langsung akan risiko mereka dijangkiti HIV melalui hubungan seks rambang atau dengan pasangan yang diketahui mengamalkan gaya hidup seks bebas.

Anak keempat daripada enam beradik ini menceritakan, sejak umurnya 12 tahun beliau telah merasai hidup sendiri setelah ibu bapanya bercerai.

“Mak saya seorang yang garang dan suka pukul. Saya juga tak pernah dihantar ke sekolah walaupun bapa saya kasi mak saya duit untuk hantar saya ke sekolah. Bila mereka bercerai, saya bawa diri dan kerja cuci pinggan mangkuk di kedai-kedai makan tanpa gaji tapi setakat dapat upah makan saja,” cerita Cik Ita.

Matanya yang cengkung menampakkan ketenangan. Kelihatan tulang pipinya menonjol di balik kulit muka yang tipis tidak berisi, manakala lengan dan pahanya kelihatan begitu ‘halus’ meskipun dibaluti jaket tebal. Bertudung putih, Cik Ita yang memberitahu berat badannya cuma 30 kilogram, mengakui berasa sejuk dalam cuaca panas saat kami bertemu pada suatu petang lalu. Semasa sihat, berat badannya pernah mencecah 60 kilogram.

Dahaga akan kasih sayang yang tidak pernah dikecapi sejak kanak-kanak lagi, Cik Ita meneruskan cerita bahawa beliau segera ‘mendakap’ dan menyerahkan segala jiwa raganya selepas berkenalan dengan seorang pekerja buruh. Mereka menjadi pasangan kekasih.

Mulanya teman lelakinya “baik dan bertanggungjawab,” kata Cik Ita, yang ketika itu bekerja di kilang di Singapura sekitar 2001. Tetapi setelah dua tahun hidup sebumbung tanpa nikah di seberang Tambak, sikapnya berubah. Teman lelakinya menjadi seorang yang berang dan suka memukul. Bila diajak nikah, beliau beri macam-macam alasan.

“Dia juga dah pandai ‘main perempuan’ dan minum (arak). Banyak nombor telefon perempuan Indonesia dalam telefon bimbitnya,” kata Cik Ita. Tidak tahan dengan layanan buruknya, Cik Ita meninggalkan teman lelakinya dan pulang ke Singapura, tetapi kerana tertekan, beliau terjerumus pula dalam penyalahgunaan dadah dan ditahan di pusat pemulihan dadah (DRC) selama dua tahun.

Semasa menjalani ujian air kecing selepas dibebaskan dari DRC, beliau berkenalan pula dengan seorang lelaki yang bekerja sebagai kakitangan pembersihan. Tidak lama kemudian mereka tinggal serumah dengan keluarga lelaki itu. Mereka mahu menikah, kata Cik Ita, tetapi kerana bapa kandung Cik Ita sukar ditemui, rancangan itu tidak diteruskan.

Selepas beberapa lama, mereka menyewa sebuah flat sendiri. Ketika itulah keadaan Cik Ita semakin teruk. Beliau semakin lemah hingga ada kala terpaksa merangkak. Melihat keadaannya yang tidak berdaya, teman lelaki keduanya itu membawanya ke hospital dan di sanalah disahkan Cik Ita dijangkiti HIV. Ketika itu tahun 2006.

“Mendengar berita itu saya memang sedih dan kecewa…macam nak bunuh diri. Saya tak pernah sangka yang saya akan kena penyakit ni sebab saya bukan pelacur. Saya yakin saya kena penyakit itu dari teman lelaki saya yang pertama. Tapi, silap saya ialah saya tak pernah fikir fasal HIV bila saya bersamanya walaupun saya tahu dia banyak girlfriend dan saya pun tak pernah fikir fasal alat pelindung seks. Saya percayakan dia sangat sebab saya ingat dia akan jadi suami saya suatu hari nanti,” akui Cik Ita.

Bak hujan disusuli ribut, teman lelaki keduanya itu juga disahkan positif dijangkiti HIV. Cik Ita tidak teragak-agak mengakui dirinya orang yang menjangkitkan virus itu kepadanya dan menyalahkan dirinya. Ketika teman lelaki keduanya itu sedang dipenjara tiga tahun atas kesalahan merompak.

“Dia merompak kerana saya, sebab dia nak duit untuk belikan ubat saya kerana masa tu dia baru kerja dua minggu dan belum ada duit. Sampai sekarang kami masih saling tulis surat. Dia berjanji akan bernikah dengan saya dan saya akan tunggu dia,” luah Cik Ita.

Selepas teman lelakinya dimasukkan ke penjara dan Cik Ita diberhentikan kerja sebagai tukang sapu, beliau tiada tempat tinggal dan merempat di tempat-tempat awam selama tujuh bulan. Tanpa wang, beliau tidak dapat membeli ubat untuk merawat penyakitnya hingga badannya kurus kering dan lemah.

Ubat – itulah yang diperlakukan oleh Cik Ita untuk meneruskan sisa-sisa hidupnya.

“Saya harap ada orang yang dapat membantu dan tidak memperkecilkan orang macam saya. Saya bukan harapkan beribu-ribu ringgit. Yang penting ikhlas sebab saya nak kerja selagi ada masa dan belum terlantar,” katanya.

Buat masa ini beliau lega kerana ada sukarelawan AFA yang mendampingi dan memberikan sokongan moral kepadanya.

Buat kali pertama Cik Ita menitiskan airmata kala mengenangkan sukarelawan yang beliau maksudkan. “Dialah orang pertama yang dengar rintihan saya dan fahami saya walaupun keluarga sendiri tidak faham. Dia sangat istimewa,” katanya.

Ubat yang diperlukan oleh Cik Ita mesti dimakan setiap hari. Jika dimakan setiap hari tanpa henti sepanjang enam bulan hingga setahun di samping makanan yang penuh berkhasiat, pesakit HIV boleh sihat dan menjalani hidup seperti biasa dan bekerja. Itulah yang diharapkan Cik Ita. Selain bekerja. Cuma baginya, ubat itu terlalu mahal – $100 untuk bekalan sebulan.

3 thoughts on “"Macam mana saya boleh dijangkiti HIV?"

  1. Pingback: Aids » Blog Archive » "Macam mana saya boleh dijangkiti HIV?"

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>