Laman web lucah punca kadar jenayah kian parah..

USAHA kerajaan melalui pelbagai agensi yang bertekad untuk menyekat akses ke hampir 33 juta laman web lucah di internet disambut baik. Lucah selalu dikaitkan dengan perangai tidak senonoh, kotor dan keji.

Ia sudah pasti menjejaskan pembangunan minda dan sahsiah masyarakat, terutama remaja.

Dalam perspektif Islam, amar makruf dan nahi mungkar adalah sesuatu yang harus dilaksanakan. Kewajipan ini dikaitkan terus dengan status dan kualiti iman seseorang.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barang siapa di antara kamu yang melihat sesuatu kemungkaran, maka hendaklah ia mengubah dengan tangannya, jika ia tidak berdaya maka ubahlah dengan lisannya dan jika tidak mampu (ubahlah), dengan hatinya. Dan itulah selemah iman.” (Hadis riwayat Muslim)

Kegilaan melihat gambar pornografi di internet adalah tanda awal penyerapan ke arah perzinaan. Al-Quran dalam surah al-Isra, ayat 32 menyebut bahaya zina kerana ia satu perbuatan yang keji dan buruk. Kerasnya larangan al-Quran dalam soal zina, segala perkara mendekati kepada perbuatan zina harus ditinggalkan.

Profesor Dr Hamka ketika menyusun tafsir Al-Azhar pada 1960-an menyatakan kebimbangan awalnya terhadap kehidupan moden yang begitu mudah mendekatkan orang kepada zina. Hamka berkata: “Segala sesuatu yang akan mendekatkan dengan zina terbuka di mana-mana.”

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan hendaklah ada antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada perkara mungkar; merekalah orang yang beruntung.” (Surah Ali Imran, ayat 104)

Laman web lucah antara faktor berlakunya kejadian jenayah seperti seks bebas, mencabul, rogol dan bunuh yang semakin meningkat. Oleh itu, jangan sesekali cuba melayari laman web sebegini.

Menjadi tanggungjawab semua pihak memastikan budaya masyarakat Timur yang beradab sopan tidak dicemari dengan budaya kuning yang cuba diterapkan laman web lucah.

Yusuf al-Qaradawi mengungkapkan sejumlah prasyarat untuk mengubah kemungkaran bersesuaian dengan hadis: “Barang siapa di antara kamu melihat kemungkaran, maka ubahlah dengan tangannya dan seterusnya ….”.

Pertama, kemungkaran itu adalah sesuatu yang diharamkan oleh syariat Islam dan bukan sesuatu yang khilafiah.

Kedua, kemungkaran itu dilakukan secara terang-terangan. Kemaksiatan dilakukan secara sembunyi tidak boleh diintip, memasang alat perakam atau kamera untuk mengetahuinya.

Ketiga, kemampuan untuk bertindak dan mengubah kemungkaran. Jika seseorang itu tidak mampu dengan `tangan’ maka dapatlah dilakukan secara `lisan’. Biasanya yang dapat mengubah sesuatu dengan tangan adalah penguasa.

Jika budaya ini berterusan dan tidak menampakkan sebarang tanda berjaya untuk diatasi, bermakna kita perlu bersedia mengikut jejak sesetengah negara Barat yang mula menyerlahkan keruntuhan akhlak remaja mereka.

Bagaimana pula jika kemungkaran itu dilakukan oleh pemerintah atau pihak lain yang dilindunginya? Menurut Qaradawi, aktivis itu haruslah mempunyai salah satu daripada tiga kekuatan iaitu ketenteraan, suara majoriti perwakilan dan kekuatan massa (masyarakat, media cetak dan elektronik, individu perseorangan).

Jika salah satu daripada tiga kekuatan itu tidak dimiliki, Qaradawi menganjurkan usaha mencegah kemungkaran dilakukan menggunakan cara lisan (tulisan, dakwah, nasihat, undang-undang) sehingga dapat mempengaruhi masyarakat bagi tujuan menghapus kemungkaran.

Keempat, untuk mencegah sesuatu kemungkaran perlu dilihat ke atas kesannya sama ada ia menimbulkan kemudaratan lebih besar atau tidak. Ulama mensyariatkan perlunya berdiam diri terhadap kemungkaran, jika dikhuatiri menimbulkan kemungkaran lebih besar.

Melihat kepada pandangan dan syarat dikemukakan Qaradawi, jelas sekali perlunya sifat cermat dalam menangani kemungkaran.

Oleh demikian, usaha bersungguh ke arah membina generasi Muslim yang berketrampilan dan berakhlak mulia perlu membabitkan semua pihak supaya kebejatan sosial kian parah dalam masyarakat dapat dikurangkan sehingga kadar paling minimum.

Sumber: zaharuddin.net

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>