Budaya Aidilfitri

Perlukah kita menukar cara kita meraikan Hari Raya… Sedangkan mengeratkan ukhuwah boleh dilakukan tanpa membebankan tenaga dan wang sesiapa pun.

Penatnya berhari raya. Begitulah luahan beberapa teman rapat, sekembalinya mereka ke pejabat selepas beberapa hari mengambil cuti Hari Raya.

Ada yang mengeluh tetamu datang tidak henti-henti sehingga larut malam. Ada yang mengadu baju kurungnya senantiasa basah sebab mencuci pinggan mangkuk sepanjang hari dan ada yang merasakan tidak cukup rehat biarpun sekadar duduk di rumah menerima tetamu.

Bahkan ada yang membisik, duit zakat yang diketepikan untuk dibahagi-bahagikan kepada kanak-kanak begitu cepat habis kerana rumahnya “diserang rombongan saudara-mara yang datang selori!”

“Setiap tahun macam ini. Hmm, kalaulah kita dapat ubah budaya kita sambut hari raya, kan bagus?” kata seorang teman yang tak menang tangan melayani saudara maranya yang begitu ramai bertandang pada tiga hari pertama Syawal memandangkan ibunya merupakan adik-beradik yang tertua dalam keluarga.

Sempat juga saya mengusik rungutannya: Kalau tidak ada orang yang datang berhari raya, siapa pula yang nak habiskan kuih-muih yang sudah diborong berbotol-botol?

Selepas sebulan berpuasa sepanjang Ramadhan, Syawal memang disambut dengan penuh kesyukuran dan rasa kemenangan kerana berjaya melawan godaan nafsu dan segala yang negatif di mata agama.

Sayangnya, kesyahduan itu sering tercemar dengan keghairahan kita menyambut Hari Raya, daripada soal persiapannya yang kadangkala menimbulkan  pembaziran, sehinggalah dengan cara kita menyambutnya yang secara tidak sengaja, menimbulkan perasaan negatif pihak tertentu.

Ditelan mati emak, dibuang mati bapak. Tradisi kita ziarah-menziarahi saudara-mara pada dasarnya dianggap mulia kerana tidak sering kita dapat bertemu. Bahkan, bagi sesetengah kita, kalau bukan kerana Hari Raya, mungkin tidak nampak “batang hidung” sesetengah kaum kerabat terdekat. Tentu ramai juga yang menjenguk rumah ibu atau bapa saudara hanya “setahun sekali pada Hari Raya”.

Saya yakin, tiada siapa yang mahu tradisi ziarah-menziarahi ini dihentikan. Namun persoalan yang harus difikirkan, ialah bagaimana ia boleh diteruskan tanpa membebankan sesiapa, baik dari segi tenaga, wang ringgit mahupun masa.

Dalam hal ini, saya ingin menyarankan agar kita meminjam budaya saudara-mara masyarakat Islam kita di sesetengah negara lain. Menurut seorang teman yang telah bermastautin di Turkey sejak 10 tahun lalu, tradisi ziarah-menziarahi antara sanak saudara dan teman-teman rapat tidak berlaku semasa Syawal, sebaliknya dibuat semasa Ramadhan, menerusi majlis iftar.

Setiap anggota keluarga termasuk adik-beradik dan sepupu rapat bergilir-gilir menganjurkan majlis iftar, dengan makanannya dihidangkan secara sederhana jumlahnya tetapi tetap istimewa.

Majlis iftar yang dibuat secara berjadual tidak saja mengurangkan beban kaum ibu menyiapkan sajian berbuka, bahkan menambah erat hubungan saudara mara dalam suasana tenteram bulan Ramadhan.

Iftar diikuti dengan solat maghrib, isyak dan tarawih secara berjemaah. Bahkan sesi saling bermaafan juga dilakukan pada bulan suci itu, sebelum masing-masing berpisah pulang. Di Indonesia pula, pada malam Lebaran atau malam 1 Syawal tradisi penduduk dan kumpulan-kumpulan keluarga duduk bertakbir beramai-ramai selepas berbuka merupakan satu pemandangan biasa – bukan setakat di masjid saja.

Ramai yang mengambil kesempatan bermaaf-maafan dan menziarahi sanak saudara di malam Lebaran, tanpa memikirkan soal hidangan makanan. Menurut penyanyi Eka Mairana yang sempat pulang berhari raya di Jakarta bersama keluarganya, soal pembahagian duit Hari Raya pula hanya diutamakan untuk anak-anak saudara terdekat, tidak seperti di Singapura yang “seperti mesti untuk semua kanak-kanak yang datang berhari raya”.

Aidilfitri di kebanyakan negara Timur Tengah hanya terasa kemeriahannya pada 1 Syawal, khususnya di sebelah pagi sebelum solat Hari Raya berlangsung. Selepas itu, setelah menjamu makanan istimewa yang disiapkan keluarga, suasana di kebanyakan tempat kembali seperti biasa.

Tidak perlu memikirkan soal memasang langsir baru, sajian kuih-muih berbotol-botol atau pening untuk menghabiskan senarai rumah-rumah untuk diziarahi. Tiada juga majlis-majlis perjumpaan yang berselindung di sebalik “Hari Raya” tetapi dicemari dengan acara-acara yang mencemarkan kemuliaan Syawal.

Saya yakin, soal mengeratkan ukhuwah antara ummah boleh dilakukan tanpa membebankan tenaga dan sumber kewangan sesiapa jika ada keikhlasan dan ketelusan.

Ramadhan merupakan bulan terbaik untuk bermaaf-maafan dan menguatkan silraturahim. Ramadhan menggalakkan kesederhanaan. Tentu kita lebih tunduk dan tawadhu’ untuk perbaharui hubungan sesama umat Islam.

Credits to Hanim Mohd Salleh (:

One thought on “Budaya Aidilfitri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>