Baru Minta Maaf Dah Buat Dosa Lagi!
-
Selamat Hari Raya semuanya… apa khabar? Macam mana, sibuk tak Hari Raya kali ini?

Pejam celik pejam celik, dah seminggu kita beraya. Nenek yakin, kebanyakan kita seronok meraikan hari kemenangan setelah sebulan berpuasa.
Sebagaimana lazimnya, Hari Raya memang kita semua bermaaf-maafan. Kata orang, buang yang keruh, ambil yang jernih. Ada pula orang kata, "kita buka buku baru".
Memang betul tu. Kalau bermaaf-maafan, ia harus datang daripada hati paling ikhlas, tidak patut berpura-pura dan tidak patut buat-buat insaf.
Mungkin anda bertanya kenapa Nenek kata begitu. Kalau nak tahu, begini ceritanya.
Ahad lalu, Nenek pergi ke majlis rumah terbuka seorang kawan lama – kawan semasa di sekolah menengah dulu. Seronok benar kerana maklumlah, dah lama tak jumpa kawan-kawan, apabila berjumpa tu, rasanya macam susah nak berpisah. Macam-macam certa lama keluar balik.
Setelah kira-kira dua jam, seorang kawan Nenek, yang kini sudah mempunyai tiga orang cucu – minta diri untuk pulang kerana mahu ke rumah terbuka di tempat lain. Kami pun bermaaf-maafan dan berpeluk-pelukan, termasuklah si tuan rumah dengan kawan yang nak pulang itu.
Nenek lihat sendiri air mata kawan Nenek dengan si tuan rumah meleleh di pipi. Suasana ketika itu penuh syahdu. Apabila si kawan tu balik, Nenek rasa belum pun dia naik lif, si tuan rumah dah mengumpat.
"Aku tak sangka pula si Zainah tu datang," katanya dengan suara berbisik kepada Nenek. "Kenapa pulak? Engkau jemput dia, tentulah dia datang. Kan bagus… merapatkan kembali silaturahim yang telah lama terputus," kata Nenek.
"Aku ni bukan apa… tak jemput tak sedap. Nanti kalau dia tahu aku jemput kawan-kawan lain, dia kecil hati pulak kalau tak jemput dia. Dari dulu aku memang tidak sebulu dengan perangai dia. Banyak mulut, kepo dan suka jaga tepi kain orang. Dia tu suka sangat cemburu dengan orang. Tidak boleh tengok orang lebih daripada dia. Kalau dia tengok dirinya terancam – maksudnya orang yang dianggap boleh mengamcam kedudukannya – maka dia pun buatlah hal.
"Merajuklah, sensitiflah… hei… susah berkawan dengan orang macam tu," kata si tuan rumah tentang kawannya tu.
Isy… isy… isy… Nenek geleng kepala tengok perangai kawan Nenek tu. "Hai, baru kejap tadi engkau berpeluk-peluk sambil menangis-nangis minta maaf dengan dia. "Belum pun orang tu masuk lif, kau dah umpat dia… Jadi, yang kau minta maaf dengan dia tadi tu, pura-puralah ya?" tanya Nenek kepada kawan yang memang rapat dengan Nenek itu.
"Entahlah…dia peluk aku, aku peluklah dia…dia menangis, aku pun nangislah… Tetapi hati aku ni susah betullah nak maafkan dia," kata kawan nenek tu.
Astaghfirullah…
Hai… kenapalah macam tu. Patutnya di hari baik bulan baik inilah kita patutnya memaafkan orang, dan jangan disimpan dendam-dendam lama. Tetapi kawan Nenek tu lain pulak ceritanya…
Mudah-mudahan kita semua, apabila memohon ampun dan maaf dan memaafkan orang, biarlah ikhlas ya… Janganlah pula baru saja minta maaf, dah buat dosa lagi… tidak baik begitu, kasihan…kasihan…





Komen Pembaca