Pembinaan kecantikan dan ketampanan sosial perlu bermula dengan pengurusan hati. Hati adalah unsur penting dalam diri manusia. Ia berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan akal.
Individu yang berakal tetapi tidak memiliki hati yang terurus dengan baik selalunya menghadapi masalah. Terbelenggu dengan kekecewaan dalam perhubungan, berasa hambar dengan kehidupan dan mudah putus asa dengan cabaran.
Hati ibarat ketua dalam diri manusia. Anggota tubuh adalah pekerjanya. Apabila ketua kuat, pekerjanya juga kuat. Begitu juga apabila ketua positif dan berwawasan, pekerja juga positif dan bergerak merealisasikan wawasan ciptaan ketua.
Hati juga ibarat cermin. Hati yang diurus dengan kebaikan memantulkan kebaikan. Setiap yang melihat pasti merasakan kebaikan dan kesucian hati itu. Kebaikan itu mengalir masuk di celah-celah bongkah kekerasan hati setiap orang di sekelilingnya.
Seorang kiyai menyebut, konsep dan praktikal bagi pengurusan hati yang baik tidak datang daripada sumber luaran, tetapi daripada dalam diri sendiri. Individu yang mampu menguruskan hatinya dengan baik, hatinya menjelma menjadi pusat segala kebaikan di muka bumi ini.
Hatinya memancarkan cahaya ketenangan dan merenjiskan haruman ketinggian peribadi kepada sesiapa sahaja yang ditemui. Setiap tingkah lakunya teratur dan berhati-hati hasil daripada keyakinan teguh di hati menjadikan dia senantiasa diawasi. (more…)






Komen Pembaca