Logo Background RSS

» Cerpen Istimewa

  • Cerpen: Keluarga Sakeenah
    By on February 24th, 2008 | 7 Comments7 Comments Comments

    Sayup-sayup terdengar alunan syahdu bacaan ayat-ayat suci Al Quran dendangan ibu. Dengan mata yang baru terbuka separuh, aku menoleh ke arah jam di dinding. Dalam samar-samar cahaya lampu tidur aku mengagak… baru pukul empat lebih. Apahal pula ibu bangun membaca surat-surat Allah di kala orang lain dibuai mimpi? Belum pernah aku mendengar ibu membaca Al Quran walaupun pada siang hari. Apatah lagi pada pagi-pagi buta begini. Aku juga tidak pasti sama ada ibu mampu bertilawah dengan baik atau tidak. Aku bingkas bangun lalu membetulkan urat-urat badan.Sebaik-baik sahaja pintu bilik dibuka, aku ternampak Najib, adik bongsuku sedang mengulangkaji pelajaran agaknya di meja tulis comel diterangi lampu kecil. Rasa hairan bermain dalam dada… tak pernah si Najib ni “study” sebelum subuh. Selalunya dia berjaga sampai pukul dua baru masuk tidur. Apakah dia mendapat petua baru? Atau… adakah Ustaz Azman berpesan apa-apa?

    Teringat aku sewaktu di tingkatan tiga dulu. Dalam satu perkhemahan pengakap, Ustaz Azman dijemput memberikan tazkirah selepas solat fardhu Maghrib berjemaah. Ada dia menyentuh tentang “study”. Dari situlah aku baru mengetahui masa terbaik untuk “study”, yang akan memudahkan hafalan, menyihatkan tubuh badan, mendatangkan hidayah dan barakah, mengilhamkan pemahaman serta lebih mendekatkan diri kepada Allah- pada dua pertiga malam iaitu antara pukul dua pagi hinggalah ke waktu subuh. Boleh jadi… Najib pun dah tahu.

    Aku mengintai ke bilik ibu yang sememangnya tidak berpintu, hanya dihijab sehelai kain pintu berwarna hijau berbunga biru muda dan merah jambu. Ibu masih melagukan ayat-ayat Allah dengan nada suara sederhana. Ibu bertelekung! Sudah tentu ibu bangun solat malam. Peliknya! Sebelum ini ibu hanya solat Maghrib dan Isya’ saja, waktu-waktu lain tak berapa ambil berat.

    Lebih pelik lagi… kulihat ayah dengan berketayap putih duduk bersila di tepi katil. Keadaannya seolah-olah orang sedang bertafakur. Mulutnya kumat-kamit. Kupasang telinga baik-baik, apalah agaknya yang ayah baca tu. Sesekali agak keras suaranya.

    Subhanallah… ayah sedang mengkhatamkan zikir persediaan Naqsyabandiah. Selama inipun memang aku ada mengamalkannya sendiri-sendiri. Zikir itu kuperolehi sewaktu mempelajari ilmu perubatan Islam daripada Darus Syifa’ kelolaan Dr. Haron Din di universiti dulu. Daripada mana pula ayah memperolehinya? Setahu aku… ayah jarang-jarang solat. Berjemaah ke surau teramatlah jauhnya kecuali sewaktu Kak Ngah nak kahwin-sebab takut orang kampung tak datang gotong-royong masak. Lepas tu haram tak jejak kaki ke surau.

    Aku beredar ke ruang tamu. Keriut bunyi lantai papan yang kupijak telah menyedarkan Shahrul, seorang lagi adik lelakiku. Lampu ruang tamu tak bertutup rupanya.

    “Dah pukul berapa kak?”

    “Emmm… dah empat lebih,”sahutku sambil melabuhkan punggung di atas kusyen.

    Shahrul bangun dan terus ke bilik air. Tak lama kemudian dia masuk ke biliknya. Aku pasti dia sembahyang.

    Apa dah jadi dengan rumah ni? Naik bingung seketika…

    (more…)

  • Palestina Bumi Syaheed
    By on February 13th, 2008 | 7 Comments7 Comments Comments

    CERPEN : BUMI YANG BERDARAH

     

    Palestin…
    Bumi yg sentiasa di hati…
    Andai bisa diri ini pergi…
    Andai bisa diri ini kecapi…
    Jihad dan syahid di bumi suci…
    Ameen…

    Assalamualaikum, ya Humaira, Apa khabar iman di hatimu? Sepuluh jari dipohonkan atas kelewatan marsum maya Humaira abang balasi.Abang agak sibuk akhir-akhir ini dan sudah jarang menghabiskan masa di hadapan jaringan internet. Kiranya, sebagai sayap kiri perjuangan, Humaira lebih memaklumi kesibukan abang, bukan? Bersama Aman Palestin, abang semaikan jihad berkorban dalam jihat atma yang paling dalam. Istilah penat dan mengharapkan kerehatan terpaksa abang entengkan. Bukankah dunia sebagai tempat pertempuran kerana kerehatan yang sebenarnya akan kita temui di Jannah kelak? Kamar syurga sedang menanti, ya Humaira.

    Apa khabar mujahid dan mujahidah muda, Umar AlFaruq dan Sumayyah? Bagaimana hafazan mereka? Abang rindukan kalian. Namun perjuangan yang ada masih berbaki dan perlu dilunaskan. Bisikkan di cuping telinga mereka bait-bait perjuangan agar mereka mengertinya. Khabarkan mereka erti sebuah perjuangan yang memerlukan pengorbanan yang tiada taranya.

    Misi terus menanti ya Humaira di sini. Saudara-saudara seislam kita di kem pelarian ini amat memerlukan perhatian dan pertolongan yang tiada henti. Malangya isu Palestin ini kurang mendapat perhatian saudara seislam kita di bumi Malaysia. Terlalu jauh ungkapan akrab dalam diri setiap Muslim terhadap isu ini. Jika hati bergetar kerana isu ini, cukuplah masa yang dipanggil minit untuk menyisihkan isu ini dari minda benak kita. Andai jantung berdegup kencang bila terdengar tangisan saudara seislam di sini, renungannya hanya seketika. Tidak pernah terdengar esakan andai butir-butir air mata mengalir. Cukuplah kesatan untuk mengkhatankan apa yang dipanggil sebagai keinsafan.

    Gema wahyu dalam surah al-Isra’ ayat pertama mengungkapkan : “ Maha suci Allah yang telah memperjalankan hambanya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa”. Hebatnya masjid ini tiada duanya, tiada tiganya dan tiada seterusnya kerana namanya sahaja telah diungkapkan sendiri oleh Allah dalam kalamNya. Namun telah bertahun bumi ini berdarah, Humaira. Sadis sekali Yahudi Laknatullah memperlakukan bumi ini. Keturunan-keturunan kera ini begitu menginginkan Palestin kerana lokasinya yang terletak di tengah-tengah dunia Islam. Palestin ibarat badan seekor burung, kedua-dua sayapnya adalah dunia Islam. Menjajahnya kiranya menakluk dunia Islam, ya Humaira. Namun umat Islam sedunia seolah-olah tidak mengetahui fakta ini, ya Humaira.

    Kau tahu Humaira apa yang diperkatakan oleh Yahudi Laknatullah itu dalam petikan Talmud? Israel bertanya kepada Tuhannya : Mengapa Engkau ciptakan makhluk selain bangsa pilihanmu (Yahudi)? Kau tahu Humaira apa kononnya jawapan yang diberikan oleh Tuhan dalam kitab Taurat yang telah diubah itu? Kononnya Tuhan menjawab : Supaya kamu menaiki belakang mereka, menghisap darah mereka, membakar yang baik, mencemari yang suci dan menghancurkan segala yang dibangunkan. Buat pengetahuanmu, doktrin ini disuntik dalam benak setiap Yahudi, tidak kira dari kalangan kanak-kanak mahupun orang tua yang mula dijangkiti penyakit Alzheimer dan nyanyuk. Membunuh bukanlah suatu dosa! Menghancurkan sebuah binaan adalah pahala bagi mereka!

    Ingin abang khabarkan sesuatu pada dirimu yang cukup membuat abang tersentak. Abang telah menemukan beberapa mayat yang keadaannya cukup mengerikan sewaktu abang membantu misi kemanusiaan di sini. Jantung, hati dan dua buah pinggang mayat-mayat tersebut telah dicuri. Ya, satu nyawa rakyat Palestin digunakan untuk menyambung nyawa empat orang Yahudi Laknatullah! Dapat kau gambarkan betapa kejamnya mereka? Dan itu bukanlah satu, malah ribuan nyawa telah diperlakukan seperti itu. Semuanya kerana doktrin yang telah disuntik oleh petikan Talmud itu. Malah pembunuhan yang ngeri sebegini adalah pahala buat mereka. Ajaran-ajaran dalam kitab Talmud membuatkan orang Yahudi menganggap bangsa lain adalah lebih rendah dari haiwan dan lebih hina dari anjing.

    Humaira, sematkan kalimah-kalimah dan bait-bait ini dalam dirimu. Seandainya mereka berpegang pada Taurat yang telah diubah itu maka sewajarnya kita perlu memerangi mereka dengan AlQuran. Apabila ajaran Talmud disanjung oleh mereka, maka menjadi tanggungjawab kita untuk berpegang pada Bukhari dan Muslim. Sekiranya hari Sabtu menjadi hari kebesaran mereka, bukankah kita sewajarnya berbangga dengan hari Jumaat? Andainya mereka berimpian untuk membina Haykal Sulaiman, sewajarnya kita mempertahankan Masjidil Aqsa sepenuh hati. Sekiranya panji Yahudi mejadi lembayung kekuatan mereka, maka kita wajib berperang dengan mereka di bawah bendera Islam. Kita akan berperang atas nama Musa, Isa dan Muhammad seandainya mereka membangunkan kekuatan tentera di bawah nama Musa. Bukankah kedudukan kita adalah lebih utama terhadap Musa daripada mereka?

    Humaira, kecintaan terhadap bumi AlQuds ini sewajarnya perlu ada dalam lubuk hati setiap orang beriman. Sewaktu pembukaan Mekah, hanya dua nyawa sahaja yang terkorban, namun untuk membebaskan bumi AlQuds, ribuan nyawa telah syahid untuk mengadukan kekejaman dan keterlaluan manusia kepada Allah. Humaira, mengapa Masjidil Aqsa menjadi kiblat pertama dalam Islam? Mengapa bumi ini yang dipilih Allah sebagai bumi pertama untuk mendapat kefardhuan solat? Mengapa 16 bulan lamanya Allah mengarahkan Rasulullah dan umat Islam mengadapkan wajah mereka ke arah Masjidil Aqsa sedangkan di kala itu Masjidil Aqsa di dalam pemerintahan orang Kristian? Mengapa tidak dihadapkan sahaja wajah ke arah Masjidil Haram? Bukankah Allah berkuasa untuk mengangkat Rasulullah secara terus daripada Masjidil Haram di Mekah dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj? Akan tetapi mengapa Allah sengaja ‘memperjalankan’ baginda ke Masjidil Aqsa terlebih dahulu? Pastinya ada sesuatu yang hebat mengenai masjid ini. Betapa Allah mengetahui bahawa pada zaman ini, ramai manusia akan melupakan Masjidil Aqsa dalam diri mereka.

    Ya Humaira, ingatkah kau akan peperangan Mu’tah? Peperangan yang menghimpunkan tiga panglima serangkai. Peperangan untuk melawan kerajaan Rom yang menguasai AlQuds. Sebuah peperangan di mana tiga panglima sekaligus gugur sebagai syahid seperti mana ramalan Rasulullah, “Jika Zaid bin Harithah gugur, Jaafar bin Abi Talib penggantinya, dan jika Jaafar gugur, Abdullah bin Rawwahah penggantinya”. Kekuatan musuh adalah seramai 200000 orang melawan 3000 orang tentera muslim. Seorang tentera Islam perlu melawan dengan sekurang-kurangnya 67 orang musuh. Dapat kau bayangkannya Humaira? Berlawan dengan lautan manusia. Namun bergema kalimah jihad dari bibir Abdullah bin Rawwahah, “Wahai saudara-saudaraku sekalian! Kenapa kita tidak menyukai mati syahid yang menjadi tujuan kita berangkat ke medan peperangan ini? Peperangan kita tidak bergantung kepada bilangan anggota pasukan atau besarnya kekuatan, tetapi semata-mata kerana agama yang dikurniakan Allah kepada kita. Kerana itu marilah kita maju! Tidak ada pilihan lain kecuali satu dari dua kebaikan iaitu menang atau mati syahid!”. Maka gugurlah ketiga-tiga mereka sebagai syuhada’. Keinginan untuk berada di taman-taman syurga dan dikelilingi oleh bidadari menjadi azimat yang menjadikan mereka merindui syahid. Malah, keinginan mereka yang paling tinggi adalah untuk bertemu Allah, Rabb sekalian alam. Tahukah engkah wahai Humaira siapakah insan-insan yang telah terkorban? Zaid bin Harithah, anak angkat yang begitu disayangi Rasulullah sehingga terakam kisah yang melarang memberikan “bin” atau menisbatkan seseorang kepada selain bapa kandungnya sendiri di dalam AlQuran. Siapa lagi yang terkorban? Jaafar bin Abi Talib! Sepupu yang bersama Rasulullah dalam suka duka perjuangan. Peperangan Mu’tah membuatkan Rasulullah menggugurkan butir-butir air mata.

    Namun, sedarkah kita mengenai pentingnya AlAqsa? Alangkah Rasulullah sendiri sanggup menghantar orang yang dikasihi ke perbatasan perang untuk membebaskan Alquds. Anak dan sepupu yang sangat disayangi. Bagaimana pula dengan kita? Apa yang telah kita korbankan untuk AlAqsa? Betapa hebat sejarah Islam. Namun, kesedaran remaja kini memandang enteng terhadap kehandalan para panglima Islam bagai hembusan angin yang tidak dihiraukan. Di bibir mereka meniti nama-nama yang hanya ada di alam fantasi. Minda benak mereka juga disuntik oleh doktrin Zionis yang ingin melihat Islam terkubur di dunia ini. Zionis yang ingin melihat AlAqsa diganti dengan Haykal Sulaiman. Mereka berusaha setiap minit dan setiap saat untuk menghancurkan AlAqsa. Terowong digali untuk merobohkan Masjil AlAqsa secara semulajadi seperti mana pendedahan Syeikh Raed Solah, ketua Harakah Islamiyah di Palestin.

    Paling membuatkan hati tersiat, adalah melihat sikap berdiam diri umat Islam sedunia. Umat Islam begitu membisu memandang isu ini. Dayus apabila membiarkan Masjid Ibrahimi dibahagi dua, satu pertiga dijadikan masjid dan dua pertiga dijadikan kuil. Dayus kerana membiarkan masjid Ibrahimi dibakar di mana lebih 60 jemaah terkorban. Dayus kerana membiarkan lebih 1200 masjid dirampas dan dijadikan kandang kambing, tempat perzinaan dan juga tempat berpesta. Dayus apabila membiarkan saudara seislam dizalimi, dirogol dan disembelih.

    Rasulullah telah bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Daud dari Thauban : Hampir sahaja seluruh bangsa dari setiap penjuru dunia, berebutan terhadap kamu, sebagaimana orang-orang yang makan berebut terhadap mangkuk makanannya. Para sahabat bertanya, “Apakah jumlah kita sedikit pada masa itu wahai Rasulullah?”. Baginda menjawab, “ Bahkan pada saat itu jumlah kamu sangat banyak, tetapi kewujudan kamu tidak ubah seperti buih air bah, sesungguhnya Allah akan mencabut rasa takut dari dada musuh-musuhmu terhadap kamu dan akan melemparkan rasa wahan ke dalam hati kamu”. Para sahabat bertanya, “Apakah wahan itu wahai Rasulullah?”. Baginda menjawab, “Cinta dunia dan takut mati”.

    (more…)

  • Berjiwa Islam…
    By on December 16th, 2007 | 10 Comments10 Comments Comments

    Dunia Islam? Digosok-gosok lagi matanya. Dia seakan-akan tidak percaya apa yang dilihatnya. Apakah aku kembali ke zaman unta, ke zaman kolot dan purba? Begitulah detik hatinya. Dikesat hidungnya yang berair dengan kertas tisu. Kertas itu kemudiannya dicampakkannya ke tepi jalan. “Assalamualaikum, pakcik.. tolong kutip kertas itu. Nanti pakcik rugi di Akhirat. Kebersihan itu separuh daripada iman.” Bunyi satu suara di belakangnya. Ia bingkas berpaling. Siapa berani menegurku? Aku Datuk Dr.Johar, orang besar negara ini. “Pakcik, biarlah saya tolong kutip,sebelum Penguatkuasa Iman dan Islam datang.Nanti didendanya pakcik,” kata budak kecil berpakaian putih dengan serban yang melilit kepalanya.

    Datuk Dr. Johar membetulkan tali lehernya. Ah, kalau dia datang biar aku sogok dengan duit ini. Siapa yang tak kelabu tengok duit merah, biru berlapis-lapis. Namun, Datuk Dr. Johar terus hairan. Bangunan pencakar langit dengan wajah pembangunan yang sofistikated. Ada helikopter bersimpang -siur bergerak di udara. Railbus bercerakah ke sana sini. Bullet train meluncur bagaikan panah dilepaskan dari busurnya.Kesibukan yang layak dipikul oleh manusia-manusia moden. Namun peliknya, pakaian mereka, tingkah-laku mereka…Ah, di mana aku sekarang ini, gerutu hati Datuk Dr.Johar. “Hoi budak, Aku di mana sekarang ?” soalnya kepada budak yang menegurnya tadi. Budak itu tersenyum. Mukanya cerah dan indah. Tenang dan bersuara lunak. Apakah ini Aladin, budak Arab dengan lampu ajaibnya: teka-teki itu terus menerjah kepala dan kotak fikir Datuk Dr. Johar. Budak itu membuka mulut hendak menjawab. Belum sempat,tiba-tiba datang sebuah kereta jenis Ferrari, merah dan bercahaya. Keluar dua orang lelaki dengan pakaian yang hebat dan segak.

    (more…)

  • 10 Puteri Tidak Dilindungi Bulan
    By on December 16th, 2007 | 1 Comment1 Comment Comments

    Oleh Fatimah Busu

    10 Puteri Tak Dilindungi Bulan
    Bertemasya di Pantai Sri Pengkalan
    Satu kena rogol beramai-ramai
    Tinggal lagi Sembilan.

    “Apa pasal kamu semua tinggalkan dia seorang diri ? Tidak ajak dia balik dengan kamu semua ?”

    “Kami tidak larat hendak tunggu dia lagi, makcik. Dia asyik duduk bercakap-cakap, gelak-ketawa dengan orang-orang lelaki … tiga empat orang “

    “Dia yang suruh kami jalan dulu, makcik. Dia kata akan ikut kami kemudian. Kami ingat dia ikut di belakang kami.”

    “Kamu semua memang tidak boleh harap! Bila mahu pergi pandai pula ajak pergi beramai-ramai. Bila balik, tinggalkan anak aku seorang diri.”

    “Sudahlah mamanya. Jangan marahkan anak orang. Kita yang benarkan dia ikut pergi. Kalau kita tidak benarkan lainlah cerita.”

    “Sekarang sudah jadi macam ni, nanti siapa yang pelahap mahu kahwin dengan dia ? Jantan mana yang pelahap buat bini ?”

    “Cepatlah. Kita kena buat report polis segera. Kita kena bawa dia ke hospital! Heh, kamu kenalkah budak-budak jantan yang buat kamu itu ?”

    “Kenal abah ”

    “Berapa orang ?”

    “Empat “

    “Kamu tahu nama-nama dia ? Tempat tinggal dia ?”

    “Seorang saja yang lain tidak tahu.”

    “Sudahlah abahnya! Mari cepat buat report ! “

    “Huuuuu dahsyat betul makcik tu. Anak dia yang gatal, miang macam ulat bulu bila tengok jantan, kita pula yang disalahkan! “

    “Makcik tu tak nampakkah pakaian anak dia tu sudahlah pakai skirt pendek nampak seluar dalam, pakai pula baju pendek dedah perut, tayang belakang. Bukan ada lengan baju, pakai tali sangkut di leher saja macam baju dalam!”

    “Baju kita ini pun nampak pusat juga!”

    “Sekurang-kurangnya kita pakai seluar jean. Pakai tudung. Nampak pusat pun tak berapa sangat.”

    (more…)