Teras Al-Quran dalam peradaban
-

Al-Quran merupakan mukjizat agung yang diturunkan Allah kepada rasul-Nya, Nabi Muhammad SAW, untuk disampaikan kepada umat manusia.
Ia mengandungi 114 surah yang meliputi 6,616 ayat, 77,934 perkataan dan 323,671 huruf. Para nufassirin mengklasifikasikan ayat-ayat Al-Quran berdasarkan tempat penurunannya iaitu makkiyah dan madaniyyah.
Ia bukan hanya menjelaskan tentang prinsip keagamaan saja, malah isinya meliputi pelbagai pedoman dan khazanah ilmu untuk dijadikan panduan kepada manusia dalam membina ketamadunan insan.
Oleh kerana Al-Quran bersumber Illahi, maka isi kandungannya adalah suci daripada sebarang kesilapan yang bercanggah dengan fitrah manusia dan alam.
Kebenaran yang terpancar daripada isi Al-Quran mengandungi asa-asa keluhuran pembentukan peradaban sebagai panduan asas untuk diikuti seluruh umat manusia.
Al-Quran menyeru semua masyarakat agar kembali kepada pemikiran rasional dan realistik.
Allah telah meletakkan prinsip-prinsip ketamadunan dalam Al-Quran dan menyatakan bahawa Dia tidak akan mengubah nasib sesuatu kelompok manusia daripada lemah kepada kuat, daripada penjajahan kepada kebebasan, daripada kemunduran kepada kemajuan melainkan setelah mereka mempunyai inisiatif ke arah itu.
Realiti ini bersandarkan firman Allah bermaksud:
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”
(Surah Ar-Raad: 11)
Peradaban menurut perspektif Islam harus bertunjangkan akidah tauhid yang murni dan kemuncaknya ia akan melahirkan kebaikan, kemajuan dan ketinggian kebudayaan.
Nilai-nilai yang terkandung dalam ajaran Islam bersifat universal, tidak terpengaruh dengan elemen-elemen sempadan.
Al-Quran juga menggesa masyarakat Islam supaya mereka berfikir dalam konteks yang lebih global.
Berpegang kepada semangat iqrak, umat Islam telah berjaya melahirkan para sarjana yang cemerlang dalam perlbagai bidang ilmu.
Melalui wahyu pertama yang diturunkan, Allah telah menganugerah petunjuk dan panduan kepada manusia tentang kepentingan dan kemuliaan ilmu.
Dengan menguasai ilmu, insan akan mengenali Penciptanya, alam semesta dan dirinya.
Ayat-ayat Al-Quran menjelaskan prinsip-prinsip umum ketamadunan manusia yang merangkumi pelbagai disiplin ilmu yang luas sebagai garis pandu yang harus diikuti.
Tamadun insan tidak akan berjaya mencapai kemuncaknya melainkan dengan kecemerlangan akal dan ilmu, akhlak yang luhur serta memiliki kekuatan akidah yang mantap.
Penulis Khas: Mohd Yusop Hassim




Komen Pembaca