Seperti lazimnya, Ramadhan lalu menyaksikan Geylang Serai kegemerlapan dengan lampu lap-lip pada malam hari. Jumlah pengunjung ke bazar di sana melimpah ruah terutama sekali pada hujung minggu.
Teman saya kesukaan. Dengan kebaya pendek bersulam warna putih yang dibeli khas untuk ke bazar, dia tertarik dengan keadaan hiruk-pikuk Geylang Serai yang bermandikan cahaya.
“Saya beli di pasar Geylang pada pagi hari,”
Teresa Conrad bercerita bila saya bertanya tentang bajunya.
Walaupun bukan Muslimah, beliau mahu menghormati budaya serta agama kita bila ke tempat ‘orang Melayu’.
Sebagai rakyat Amerika berasal dari Hongkong, Teresa belum pernah rasa suasana Ramadhan di Singapura. Ibu dan kakaknya yang baru sampai dari Hongkong diajak sama.
Mereka memastikan pakaian mereka tidak menjolok mata.
Kakak Teresa, seorang vegetarian, sempat mencuba putu mayam setelah sempat mencuba putu mayam setelah yakin ia sesuai dengan dietnya.
Lucu bila saya cuba berkomunikasi dengan ibu serta kakaknya. Macam ayam dengan itik.
Allison, anak gadis Teresa yang tertarik dengan hiasan lampu lap-lip, membeli lampu berbentuk bulan dan bintang untuk menghias rumah mereka. Pada masa yang sama, saya ternampak beberapa orang pemuda-pemudi Melayu yang berpakaian tak senonoh. Kelakuan mereka begitu memalukan.
Betapa ironisnya, ketika bangsa lain mahu menjaga perasaan kita sebagai orang Islam, bangsa sendiri yang mencemari nama Islam.
Saya teringat pada satu adegan yang saya terlihat di MRT. Seorang wanita bertudung yang saya kenali menghulurkan pipinya untuk dicium seorang lelaki asing.
Perempuan itu sudah bersuami dan saya kenal suaminya!
Dalam keadaan terperanjat, saya terkaku sebentar.
Wanita itu berpaling dan ternampak saya. Dengan pantas dia berkata:
“Aku dah bercerai.”
Saya hanya berdiam diri. Dengan keadaan diri yang berpuasa, saya hanya beristighfar dalam hati.
Setelah duduk bersama dalam MRT, wanita itu berkata sekali lagi:
“Aku dah lama bercerai.”
Sekali lagi saya matikan diri. Tiada kata-kata yang keluar dari mulut saya. Bila wanita itu sekali lagi menegaskan yang dia sudah berpisah dengan suaminya, saya akhirnya bertanya sama ada lelaki asing tadi adalah suami barunya.
“Tidak. Aku tak akan kahwin dengan dia, dia bukan Islam,”
jawabnya mudah.
“Jadi, apa yang kau buat tu betul?”
Dengan tersipu, dia mengaku dia buat dosa. Yang jelas, dia tak malu melakukan perkara tersebut, tapi dia malu kerana saya terlihat perbuatannya tadi!
Mungkin manusia lupa bahawa sebagai hamba, kita tidak diadili manusia tapi oleh yang Maha Kuasa. Dia yang melihat segalanya.
Sememangnya kita disuruh memperbanyakkan beribadah dalam bulan Ramadhan, tetapi adab beribadah juga harus dijaga.
Apa perasaan anda jika terlihat seorang wanita Islam berskirt pendek dan pakaian seksi duduk sambil mengaji dengan Al-Quran di tangan?
Mengapa dia tak menghormati Al-Quran dengan berpakaian sewajarnya?
Pernah dulu, wanita yang sama bercerita tentang pengalamannya ke tanah perkuburan pada Hari Raya pertama.
“Tak senonoh pakaian orang pergi menziarah kubur, macam nak ke pesta! Kalau aku pergi kubur, mesti pakai senonoh,”
menurut wanita itu.
Dalam hati saya tertanya pula, hanya ke kubur aje nak pakai senonoh? Hai! Antara etika dengan niat, saya pun jadi bingung.
Baru saja saya menerima panggilan dari Teresa. Mereka sekeluarga ingin melawat keluarga saya sempena lebaran. Pada masa yang sama, Teresa ada satu permintaan.
“Saya nak cuba pakai tudung,”
terpaksa Teresa ulangi permintaannya kerana saya ragu dengan apa yang didengar.
“Untuk apa?”
saya ingin tahu.
“Nak rasa macam mana awak rasa. Lain.”
Permintaan Teresa membuat saya berfikir. Saya tahu dia benar-benar mahu melihat dirinya yang bertudung di cermin. Sekadar satu fesyen untuk dicuba.
Saya tersenyum sendiri. Seorang asing ingin rasa ‘nikmat’ bertudung, sementara orang Islam sendiri seolah-olah mengejek dan ‘mempersendakan’ hijab di kepala. Dunia…dunia…
Oleh: Sharifah Md. Kassim